KOTA TINGGI – Mayat kanak-kanak yang hilang disyaki lemas selepas terjatuh longkang di Taman Kota Jaya di sini berjaya dijumpai pagi tadi.
Ketua Polis Daerah Kota Tinggi, Superintendan Yusof Othman berkata Mohammad Rayyan Alif, 9 ditemui dalam keadaan lengkap berpakaian kira-kira pukul 10.20 pagi.
“Hasil pemantauan yang dijalankan oleh pasukan mencari dan menyelamat dengan menyusuri Sungai Johor menggunakan bot telah menjumpai satu mayat dipercayai seorang kanak-kanak lengkap berpakaian terapung di atas permukaan air sekitar pukul 10:20 pagi.
“Waris mangsa telah mengesahkan mangsa yang dijumpai adalah ahli keluarga mereka yang dilaporkan hilang. Mayat mangsa telah dibawa ke Bahagian Forensik, Hospital Kota Tinggi untuk tindakan selanjutnya dan kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut (SDR),” katanya dalam kenyataan hari ini.
Kelmarin, Yusof dilaporkan berkata, seorang kanak-kanak lelaki berusia sembilan tahun itu dipercayai jatuh ke dalam longkang kira-kira pukul 3 petang sewaktu hendak mengambil selipar semasa hujan lebat.-KOSMO! ONLINE