KLANG – Polis mengesahkan individu yang maut dilanggar komuter selepas menceroboh masuk ke kawasan landasan Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) di sini, adalah merupakan warga asing.
Dalam kejadian kira-kira pukul 6.38 pagi itu, mangsa berusia 45 tahun dijumpai dalam keadaan lengkap berpakaian dan kaki kanan terputus.
Ketua Polis Daerah Klang Selatan, Asisten Komisioner Cha Hoong Fong berkata, siasatan mendapati komuter tersebut dalam perjalanan ke Tanjung Malim, Perak dari Pelabuhan Klang.
Katanya, setiba di lokasi kejadian didapati pemandu secara tiba-tiba terdengar dentuman yang kuat seperti terlanggar sesuatu.
“Seterusnya terdapat kebocoran gas pada sistem kereta api yang menyebabkannya berhenti dan tidak dapat meneruskan perjalanan.
“Pemeriksaan dijalankan pemandu itu menjumpai mayat seorang lelaki di bawah gerabak keempat dan terus menghubungi pihak polis,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Jelasnya, mayat mayat telah hantar ke Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR) dan hasil bedah siasat mendapati punca kematian akibat dilanggar kereta api dan tiada sebarang unsur jenayah.
Kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut.-KOSMO! ONLINE