JIKA rakan-rakan seangkatan yang lain sudah pun berumah tangga dan memiliki anak, tetapi bagi selebriti versatil, Sherry Alhadad ini, masih menanti jodoh yang entah bila akan kunjung tiba.
Kini pada usia 41 tahun, pemilik nama sebenar Sharifah Ferry Mariam Sri Karisma Syed Abdullah Al Hadad ini akui ramai lelaki takut mendekati dek personaliti yang ‘gila-gila’ dan kerjaya dalam bidang glamor.
“Ramai lelaki takut nak mendekati saya. Mereka cakap, saya terlalu dominan dan ‘high maintenance’. Sedangkan saya bukanlah orang yang sebegitu.
“Mungkin juga orang asyik tengok saya sering bergurau, maka mereka rasa saya bukan seorang yang serius.
Mungkin mereka melihat energi saya lebih besar membuatkan mereka takut untuk dekat. Tak apa lepas ini saya akan cuba jadi wanita yang sopan dan lemah lembut,” katanya kepada HibGlam.
Ditanya adakah dia terlalu cerewet untuk memilih lelaki yang selayaknya dijadikan calon suami, kata pelakon drama Khunsa itu dia tidak pernah menetapkan ciri-ciri khas.
“Saya tidak meletakkan ciri-ciri yang khusus untuk lelaki mendekati saya. Cukuplah sekadar dapat diajak berbual dan berbincang.
“Yang penting lelaki tersebut haruslah memiliki sifat seorang yang bertanggungjawab. Saya tidak kisah jika pendapatannya kurang berbanding saya. Saya juga orang biasa.
“Mungkin orang nampak saya glamor sebab muncul dalam televisyen. Tetapi jika buang semua solekan di wajah saya ini saya hanyalah orang biasa. Lalu tepi jalan pun orang tak kenal,” ujarnya.
Tiada pasangan, pengacara Gegar Vaganza musim ke-11 itu bagaimanapun tidak akan sesekali bercinta dengan suami orang. Namun tidak menolak seandainya lelaki tersebut berstatus duda.
“Saya sukakan kanak-kanak. Jadi kalau ada duda yang okey, saya pun okey sahaja. Saya memang suka manjakan kanak-kanak.
“Saya pun sudah berusia, jadi kalau dapat pakej suami yang sudah punya anak kenapa tidak?
“Buat masa ini saya banyak menumpang kasih dengan anak-anak sahabat saya dan juga anak-anak saudara saya. Mereka panggil saya mummy,” kongsinya.
Tambah Sherry, disebabkan kerjayanya dalam bidang glamor, batas pergaulannya bersama lelaki daripada luar bidang agak terhad. Mungkin situasi sedemikian menjadi penyebab sukar menemui lelaki yang sesuai dengannya.
“Dalam kerja saya, saya asyik jumpa orang yang sama setiap hari. Lingkungan itu agak terhad. Ramai juga yang sudah berkahwin.
“Saya tak sempat untuk bersosial dan berkenalan dengan orang-orang baharu. Nak cari jodoh dalam aplikasi media sosial, saya tak berapa gemar. Saya lebih suka secara berdepan,” katanya mengakhiri perbualan.