fbpx

Jawatankuasa khas dibentuk gembleng usaha pemulihan Gaza

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Mohd. Na'im akan membentuk dan mempengerusikan Jawatankuasa Khas Penyelarasan Agensi-Agensi dalam usaha pemulihan Gaza, Palestin.

PETALING JAYA – Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Dr. Mohd. Na’im Mokhtar akan membentuk dan mempengerusikan Jawatankuasa Khas Penyelarasan Agensi-Agensi dalam usaha pemulihan Gaza, Palestin.

Beliau berkata, jawatankuasa khas itu akan diurussetiakan oleh Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) dan Yayasan Waqaf Malaysia untuk menggembleng potensi dan ruang komprehensif ke arah mendokong komitmen Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

“Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) menyokong penuh komitmen Perdana Menteri untuk menggerakkan usaha membina sebuah sekolah, hospital dan masjid di Gaza, Palestin dalam usaha pembinaan semula Gaza seperti yang dizahirkan pada hari ini.

“Jawatankuasa khas ini akan menjalinkan kerjasama dengan pihak berkuasa agama Islam negeri-negeri serta rakan-rakan strategik bagi mempertingkat kerjasama menyeluruh masyarakat dalam pembangunan semula Gaza,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Mohd. Na’im berkata, beliau memohon rakyat untuk bersama-sama berdoa agar segala perancangan yang disusun terlaksana dengan jayanya.

“Semoga Allah memberikan limpahan kesejahteraan dan kekuatan kepada rakyat Palestin menghadapi ujian berat ini,” katanya.

Terdahulu menerusi hantaran Facebook hari ini, Anwar menegaskan bahawa pengumuman gencatan senjata di Gaza harus disusuli dengan perancangan pemulihan wilayah itu.

Sehubungan itu, beliau dipetik berkata, Malaysia akan menggerakkan usaha membina sebuah sekolah, hospital dan masjid di Gaza bagi meringankan penderitaan penduduk Palestin.

Beliau dilaporkan berkata, usaha tersebut akan direalisasikan dengan menggembleng sinergi dan kerjasama semua pihak termasuk syarikat berkaitan kerajaan, badan bukan kerajaan, swasta, perniagaan, korporat dan seluruh rakyat Malaysia. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI