PERSEKUTUAN Hoki Antarabangsa (FIH) mengambil langkah berani dengan mewajibkan pemakaian pelindung muka dalam pertahanan situasi pukulan sudut penalti (PC) berkuat kuasa serta merta dalam semua kejohanan rasmi.
Langkah itu bertujuan memberikan perlindungan tambahan kepada pemain, terutama ketika menghadapi detik-detik kritikal permainan, sekali gus memperlihatkan keprihatinan badan induk itu terhadap keselamatan atlet.
Presiden FIH, Datuk Tayyab Ikram berkata, kebajikan pemain adalah keutamaan utama dan peraturan baharu itu adalah satu langkah proaktif untuk mengelakkan risiko kecederaan serius.
“Kami tidak akan berkompromi dalam soal keselamatan pemain. Saya yakin keputusan ini adalah langkah yang tepat untuk melindungi mereka.
“Walaupun peraturan ini mungkin tidak dapat dikuat kuasakan dalam kejohanan luar kelolaan FIH, kami menggesa komuniti hoki global untuk mengadaptasi langkah ini atau mencari penyelesaian alternatif demi keselamatan pemain,” katanya.
Selain itu, FIH turut melaksanakan penyesuaian terhadap tempoh 40 saat antara pemberian pukulan sudut penalti sudut dan pelaksanaannya.
Perubahan itu memberikan sedikit kelonggaran kepada pengadil untuk memastikan semua pemain pertahanan mempunyai masa mencukupi untuk memakai pelindung muka tanpa menjejaskan kelancaran permainan.
Penguatkuasaan tersebut bukan sahaja mencerminkan komitmen FIH dalam menjadikan hoki sukan yang lebih selamat, tetapi juga diharap menjadi inspirasi kepada badan sukan lain untuk mengambil langkah proaktif dalam melindungi atlet masing-masing.