PETALING JAYA – Gastro Groove Fest, sebuah festival yang julung kali dibawakan dengan menggabungkan makanan, pesta muzik dan budaya akan diadakan di Taman Jubli Emas, Alor Setar, Kedah.
Festival yang berlangsung selama tiga hari bermula Jumaat ini bertujuan untuk mempromosikan makanan tradisional Kedah, disamping mengangkat elemen muzik dan budaya tempatan.
Menurut Ketua Pegawai Eksekutif Gastro Groove Fest, Ally Isyraf, Gastro Groove Fest bukan sekadar pesta, ia adalah ruang bagi komuniti untuk berhubung, berkongsi budaya dan memupuk perpaduan.
“Acara ini adalah sebahagian daripada kempen Tahun Melawat Kedah 2025 yang bertujuan memperkayakan tawaran pelancongan negeri ini.
“Kami mahu memperkenalkan semula keunikan budaya Kedah kepada dunia sambil menggalakkan penglibatan belia dalam pelbagai aktiviti yang membina,” katanya.
Mengulas lanjut, beliau berkata, pada festival itu juga, pengunjung boleh menikmati sajian asli Kedah yang disediakan oleh pengusaha tempatan.
Selain itu, festival itu juga mempersembahkan pelbagai acara kebudayaan, termasuk wayang kulit, mek mulung, dan wayang pacak, yang dirancang untuk memperkenalkan semula seni tradisional Kedah kepada generasi muda.
“Tidak lengkap sebuah festival tanpa hiburan, Gastro Groove Fest akan menampilkan persembahan artis-artis terkenal seperti Gerhana Ska Cinta, Ruffedge, Monosterio, dan ramai lagi.
“Gastro Groove Fest turut menawarkan pelbagai aktiviti mesra keluarga seperti zon kanak-kanak, permainan tradisional, dan rumah hantu yang interaktif.
“Aktiviti E-Sukan juga akan menjadi tumpuan, memberikan peluang kepada golongan muda untuk mempamerkan bakat mereka di pentas kompetitif,”ujarnya.-KOSMO! ONLINE