LONDON – Hukuman penggantungan tiga perlawanan terhadap pertahanan Arsenal, Myles Lewis-Skelly ekoran layangan kad merah kini dibatalkan oleh Persatuan Bola Sepak England (FA).
The Gunners sebelum ini menzahirkan rasa tidak puas hati terhadap kad merah Lewis-Skelly hingga mengheret kelab itu mengemukakan rayuan.
Keputusan itu pastinya beri kelegaan buat pengendali pasukan, Mikel Arteta untuk kekal kompetitif dalam baki saingan selepas ini.
“Kami gembira dengan keputusan yang sudah dibuat. Kami di pihak kelab sudah pun memberikan semua bukti untuk mempertahankan pendirian kami.
“Pada asasnya ia sesuatu yang bagus buat kami dan sekarang kami memiliki lebih banyak pilihan kerana dia boleh bermain. Jadi ini adalah perkara yang cukup positif buat pasukan,” katanya.
Awal pagi esok, Arsenal bakal melengkapkan aksi terakhir pusingan awal Liga Juara-Juara menentang Girona.
Pada aksi Sabtu lalu, pengadil bertugas, Michael Oliver melayangkan kad merah kepada Lewis-Skelly kerana mendakwa berlaku kesalaan serius ekoran kekasaran terhadap pemain Wolverhampton, Matt Doherty.
Pada perlawanan sama, Wolverhampton juga terpaksa menamatkan aksi dengan 10 pemain selepas Joao Gomes menerima kad kuning kedua. – AGENSI