PETALING JAYA – Cakap tidak berlapik, pelakon Datin Atikah Suhaime meluahkan rasa kecewa apabila sering menjadi mangsa ‘face shaming’ orang terdekat yang mempersoalkan penampilannya semasa hamil.
Atikah atau nama penuhnya Nur Atikah Mohd Suhaime, 33, berkata, insiden itu berlaku apabila rakannya datang melawat dan terkejut melihat perubahan fizikalnya yang lebih berisi disebabkan sarat mengandung.
“Baru-baru ini, ada kawan rapat datang rumah selepas lama tak jumpa. Dia tengok saya dan terus cakap, ‘Wow, tak lama nak bersalin ke ini?’
“Saya jawab, Insya-Allah Mac nanti saya bersalin. Tapi, dia tambah pula, ‘Saya ada kawan, walaupun dia mengandung, nampak cantik sangat, glowing. Biasalah sebab awak anak perempuan, akan tarik seri mak dia.’
“Saya tak pasti kenapa dia cakap begitu, tetapi rasa macam dia sengaja nak beritahu saya nampak buruk sangat waktu mengandung,” katanya dalam TikTok.
Kata pelakon filem Tantiana itu lagi, kejadian tersebut membuatkan dia lebih selesa menghabiskan masa bersama keluarga berbanding dengan sahabat kerana bimbang berdepan situasi sama.
“Sebab itu saya jarang lepak dengan kawan-kawan. Saya lebih suka habiskan masa dengan Amir, adik ipar atau ibu mertua.
“Setiap kali keluar dengan kawan, mesti ada sahaja yang buat saya terasa hati. Saya jadi kagum bagaimana orang lain boleh simpan kawan ramai-ramai.
“Tapi saya, kalau lepak dengan kawan, selalu rasa sakit hati sahaja,” ujarnya.
Atikah mendirikan rumah tangga dengan ahli perniagaan, Datuk Lokman Teh pada Januari tahun lalu.
Pada September 2024, Atikah berkongsi khabar gembira dirinya hamil empat bulan selepas video mukbang memaparkan dirinya kelihatan berisi mendapat perhatian ramai. – KOSMO! ONLINE