MANCHESTER – Pemain baharu Real Betis, Antony dijangka tidak akan kesunyian apabila kelab itu dilaporkan berminat untuk membawa masuk seorang lagi bintang Manchester United, Tyrell Malacia secara pinjaman.
Bagaimanapun Real Betis mungkin terpaksa bersaing dengan beberapa lagi kelab yang turut menyatakan minat terhadap Malacia.
Perpindahan Malacia mungkin akan mempercepatkan usaha Man United untuk membawa masuk pemain Lecce, Patrick Dorgu dimana kedua-dua pihak sedang melakukan rundingan bagi mencapai kata putus.
Bagaimanapun Malacia yang kembali sertai skuad utama Red Devils selepas berehat panjang ekoran kecederaan lutut sudah pun menyatakan pendiriannya yang gembira untuk kekal menabur khidmat di Old Trafford.
“Saya setiasa bersedia untuk bermain sehabis baik. Apa yang saya mahu lakukan adalah bermain bola sepak kerana saya pastinya gembira untuk kembali ke lapangan,” kata Malacia.
Namun bintang pemain dari Belanda itu jarang mendapat peluang dibawah pengendali baharu, Ruben Amorim dan hanya melakukan tiga penampilan di Liga Perdana Inggeris. AGENSI