PETALING JAYA – Perbicaraan kes pasangan Zaim Ikhwan Zahari dan Ismanira Abdul Manaf yang didakwa mengabaikan anak mereka Zayn Rayyan Abdul Matin akan diteruskan pada Februari ini.
Hakim Mahkamah Sesyen Dr. Syahliza Warnoh memutuskan demikian selepas menolak permohonan pihak pembelaan untuk melapangkan perbicaraan yang dijadualkan pada Februari dan Mac ini.
Sebelum ini, mahkamah telah melapangkan tarikh perbicaraan pada 20 hingga 24 Januari lalu dan perbicaraan akan bermula pada 3 hingga 7 dan 17 hingga 21 Februari sementara Mac bermula 10 hingga 14.
Terdahulu Timbalan Pendakwa Raya Kamarul Iman Ahmad Sapian memaklumkan pihak pendakwaan telah menerima sesalinan notis usul yang dikemukakan kedua-dua tertuduh di Mahkamah Tinggi Shah Alam.
“Pihak pendakwaan telah menerima sesalinan secara emel daripada pihak pembelaan pada Jumaat lepas. Saya percaya telah ditetapkan sebutan kes di Mahkamah Tinggi Shah Alam pada 4 Februari ini. Dengan itu saya mohon arahan lanjut pihak mahkamah,” kata Kamarul Iman.
Pada masa sama, Kamarul Iman turut berkata pihak pendakwaan akan memfailkan afidavit balasan di Mahkamah Tinggi selain turut bersedia dengan perbicaraan.
Mendengar perkara itu, peguam Haresh Mahadevan yang mewakili kedua-dua tertuduh mengesahkan telah menyerahkan dokumen (notis usul) pada Jumaat lalu.
“Saya sahkan pengurusan kes di Mahkamah Tinggi dihadapan Timbalan Pendaftar pada 4 Februari. Atas alasan tersebut saya memohon tarikh-tarikh bicara yang telah ditetapkan pada Februari dan Mac ini dilapangkan sementara pelupusan permohonan notis usul (berkaitan pertuduhan) di Mahkamah Tinggi,” kata peguam itu.
Selepas mendengar makluman kedua-dua belah pihak, Hakim Syahliza memutuskan untuk perbicaraan kes diteruskan seperti mana yang dijadualkan sebelum ini.
“Pada tarikh lepas mahkamah telah meminta pihak-pihak mengemas kini status notis usul. Disebabkan permohonan itu masih belum didengar di Mahkamah Tinggi, Mahkamah (Mahkamah Sesyen) akan teruskan dengan perbicaraan pada Februari,” kata Hakim Syahliza.
Mengikut pertuduhan, pasangan suami isteri berusia 30 tahun itu sebagai orang yang mempunyai pemeliharaan terhadap anak mereka yang berusia enam tahun, didakwa bersama-sama mengabaikannya dengan cara yang mungkin menyebabkan kecederaan fizikal.
Kesalahan didakwa dilakukan di sekitar jalan PJU 10/1 Damansara Damai di sini, antara pukul 12 tengah hari, 5 Disember dan pukul 9.55 malam pada 6 Disember 2023.
Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 dan dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan.
Sebelum in, pihak pembelaan telah memfailkan notis usul bagi membatalkan pertuduhan yang dihadapi sekaligus memohon dilepas dan dibebaskan.
Menurut Haresh, kedua-dua anak guamnya selaku pemohon memfailkan notis usul menerusi Tetuan Wong&Co. pada 21 Januari lalu di Mahkamah Tinggi Shah Alam.
Justeru dengan permohonan notis usul itu, pihak pembelaan memohon supaya perbicaraan yang dijadualkan pada 3 Februari ini ditangguhkan sementara.
Berdasarkan dokumen notis usul dan afidavit sokongan yang diperoleh daripada pihak pembelaan, Zaim Ikhwan dan Ismanira mendakwa pertuduhan yang dikenakan tidak mendedahkan sebarang kesalahan di bawah Seksyen 31 Akta Kanak-Kanak 2001.
Dokumen itu turut menyatakan kedua-dua pemohon percaya pertuduhan dihadapi tidak mematuhi Seksyen 153 dan 154 Kanun Tatacara Jenayah sekaligus tidak diberi hak perlembagaan untuk perbicaraan adil yang dijamin di bawah Perkara 5 dan 8 Perlembagaan Persekutuan.
Dalam pada itu, menerusi permohonan notis usul pula, pemohon-pemohon berkata semua pertuduhan jenayah dikenakan terhadap mereka adalah satu penyalahgunaan proses Mahkamah Sesyen dan telah diprejudiskan dengan serius selain memohon dibebaskan serta-merta. – KOSMO! ONLINE