PETALING JAYA – Sekumpulan jemaah umrah kecewa apabila pakej umrah yang dilanggan indah khabar dari rupa.
Melalui satu perkongsian video jemaah tersebut, mereka mendakwa beberapa jemaah ditempatkan di kawasan rumah tumpangan yang diduduki pekerja asing dengan persekitaran kotor.
Katanya, apa yang mengecewakan ialah jemaah terpaksa berhimpit di dalam bilik kecil yang mempunyai sebanyak lapan buah katil meskipun pakej yang dilanggan bernilai RM9,000 seorang.
Bagaimanapun tidak dinyatakan nama agensi umrah yang terlibat.
Tinjauan di ruang komen mendapati rata-rata pengguna bersimpati atas nasib jemaah tersebut.
Bagaimanapun, ada yang mengatakan perkara itu kerap berlaku terutama sekali melibatkan agensi umrah yang kecil.
“Bab hotel kat sana jangan salahkan agensi semata-mata, sebab banyak jadi kes Agensi kena ‘game’ dengan pihak hotel sendiri. Banyak dah jadi terutama agensi-agensi kecil atau yang baru mula,” kata Rizal.
“Penginapan ini biasanya syarikat dah tempah awal, tapi pihak hotel sana suka main harga. Yang dah tempah pun boleh kena tendang bila ada yang sanggup bayar lebih mahal. Harap pihak berkuasa di sana lebih cakna,” kata Nizam.
“Syukur ada bilik, jemaah Indonesia 10 jam duduk luar hotel tak ada bilik,” kata Hariati. – KOSMO! ONLINE