LONDON – Pengurus Manchester United, Ruben Amorim terus mempertahankan keputusan untuk mengetepikan Marcus Rashford ketika meraih kemenangan 1-0 ke atas Fulham pada aksi Liga Perdana Inggeris (EPL) di Craven Cottage awal pagi semalam.
Pengendali yang genap usia 40 tahun semalam itu juga seakan sudah tidak lagi mahu memberi peluang buat Rashford kerana menganggap penyerang berkenaan ‘hilang minat’ menyarung jersi The Red Devils.
Amorim turut melancarkan ‘perang’ dengan Rashford apabila mendakwa beliau lebih rela menyenaraikan jurulatih penjaga gol, Jorge Vital yang berusia 63 tahun sebagai pemain dalam mana-mana perlawanan berbanding menurunkan Rashford.
“Alasan sama iaitu apa yang patut pemain lakukan dalam latihan dan segala perincian lain. Jadi jika tiada perubahan, saya juga tidak akan buat perubahan.
“Jika kamu lakukan perkara yang betul sehabis baik, pastinya kami boleh guna semua pemain. Saya akan letakkan Vital dahulu sebelum pemain yang tidak beri komitmen sehabis baik,” kata Amorim selepas menewaskan Fulham hasil gol tunggal daripada Lisandro Martinez.
Rashford sebelum ini mendedahkan dia sudah bersedia mencari cabaran baharu meninggalkan Old Trafford yang menyaksikan perlawanan menentang Fulham itu adalah kali ke-11 penyerang berusia 27 tahun itu disisihkan oleh Amorim.
Dalam masa sama, bekas pengendali Sporting Lisbon itu mendedahkan, tiga mata berharga itu sekurang-kurangnya dapat mengurangkan tekanan dirasainya apabila menang tujuh, seri tiga dan kalah tujuh daripada 17 perlawanan bersama United.
“Selepas dua bulan berada di sini, saya sekarang 50 tahun (umur), bukan 40 tahun (dengan nada berseloroh). Jujurnya ia satu penghormatan dapat meraikan ulang tahun kelahiran ke-40 saya di sini lebih-lebih lagi dengan kemenangan ini,” kata Amorim. – AGENSI