fbpx

‘Transporter’ diberkas tak sempat hantar 10 lembu seludup

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Sebanyak 10 ekor lembu seludup yang berada di dalam sebuah lori semasa ditahan di Jalan Kota Bharu-Pengkalan Kubor dekat Kampung Belukar, Tumpat semalam. FOTO PGA

TUMPAT – Seorang lelaki yang berperanan sebagai ‘transporter’ tidak sempat menghantar 10 ekor lembu seludup bernilai RM97,500 selepas lori dipandunya ditahan di Jalan Kota Bharu-Pengkalan Kubor di Kampung Belukar, di sini semalam.

Pasukan Gerakan Am (PGA) menahan lori itu kira-kira pukul 12.50 tengah malam semasa menjalankan Ops Taring Wawasan Kelantan.

Komander Briged Tenggara PGA, Datuk Nik Ros Azhan Nik Ab. Hamid berkata, lori jenis Inocom dipandu lelaki berusia 42 tahun itu ditahan selepas anggota PGA mendapati ia dipandu dalam keadaan mencurigakan.

Menurutnya, pemeriksaan mendapati, kenderaan tersebut membawa 10 ekor lembu dengan berat lebih 6.5 tan.

“Lembu-lembu itu dipercayai diseludup dari Thailand apabila kesemua haiwan ternakan tersebut tiada dokumen yang sah,” katanya ketika dihubungi pemberita di sini hari ini.

Nik Ros Azhan berkata, siasatan lanjut mendapati, pemandu lori itu disyaki berperanan sebagai penghantar untuk menyeludup lembu-lembu tersebut ke pasaran tempatan.

“Suspek dan barang rampasan diserahkan kepada kompeni taktikal PGA di Taman Bakti, PGA Taman Bakti dan Jabatan Veterinar Kelantan,” katanya yang memberitahu kes disiasat mengikut Seksyen 36(1) Akta Binatang 1953. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI