KLANG – Siasatan polis mendapati tiada sebarang unsur jenayah atau kecuaian melibatkan sebuah kilang yang meletup akibat bahan kimia di Taman Perindustrian Kapar Indah di sini, minggu lalu.
Ketua Polis Daerah Klang Utara, Asisten Komisioner S. Vijaya Rao berkata, pihaknya telah merekodkan keterangan pemilik premis, pekerja dan orang awam berkaitan kejadian itu.
Jelas beliau, pihaknya sebelum ini menjalankan siasatan kes itu di bawah Kertas Enkuiri Polis (KEP).
“Siatan mendapati, kejadian berpunca daripada reaksi bahan kimia dan tiada sebarang kecederaan serius direkodkan,” katanya selepas melakukan tinjauan di Pasar Pagi Taman Eng Ann di sini, hari ini.
Kosmo! sebelum ini melaporkam polis telah merakam keterangan pemilik kilang memproses bahan kimia yang meletup dalam kejadian kira-kira pukul 4.23 petang, 20 Januari lalu.
Insiden letupan menyebabkan seramai 33 mangsa cedera ringan dengan 31 daripadanya dirawat di Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR) manakala dua lagi di hospital swasta dengan gejala pedih mata dan sesak nafas.
Tambah Vijaya, pihaknya akan menyerahkan KEP itu kepada pejabat Timbalan Pendakwa Raya (TPR) bagi tindakan selanjutnya.
Dalam perkembangan sama, kata beliau, kes itu bagamainapun masih disiasat Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (DOSH) dan Jabatan Alam Sekitar (JAS). – KOSMO! ONLINE