KUALA LUMPUR – Polis Kuala Lumpur mempertingkatkan kawalan lalu lintas serta melaksanakan rondaan di kawasan perumahan sekitar ibu negara ketika cuti Tahun Baharu Cina 2025.
Timbalan Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Azry Akmar Datuk Ayob berkata, seramai 363 anggota akan bertugas setiap hari sepanjang Op Selamat 23 dan Op Lancar yang berakhir 2 Februari.
“Lebih 50 peratus warga kota dijangka keluar dari ibu negara. Dalam masa sama, kita juga menjangkakan orang luar masuk ke dalam Kuala Lumpur.
“Selain daripada mengawal kesesakan lalu lintas di sekitar Kuala Lumpur, kita juga akan melakukan tindakan operasi Pencegahan Jenayah di taman perumahan,” katanya ketika sidang akhbar selepas Program Advokasi Keselamatan Jalan Raya sempena Tahun Baharu di Bukit Bintang, di sini, semalam.
Turut hadir Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Kuala Lumpur, Asisten Komisioner Mohd Zamzuri Mohd Isa; Ketua Jabatan Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti Polis, Senior Asisten Komisioner Ravindar Singh Sarban Singh dan Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Asisten Komisioner Sulizmie Affendy Sulaiman.
Susulan itu, beliau juga meminta orang ramai untuk mendaftar maklumat peribadi dan kediaman mereka menggunakan aplikasi Volunteer Smartphone Patrol (VSP) sebelum pulang ke kampung.
“Op Selamat 23 sempena Tahun Baru Cina 2025 akan bermula pada 28 Januari sehingga 02 Februari ini, yang memberi tumpuan kepada kawalan lalu lintas di sekitar Pusat Bandaraya Kuala Lumpur supaya dapat diatasi dengan sebaik mungkin dan memberi kemudahan kepada pengguna-pengguna jalan raya untuk meraikan perayaan bersama keluarga.
“Polis Kuala Lumpur akan memberikan perkhidmatan yang terbaik dengan menunjukkan kehadiran (Omnipresence) di lokasi bagi memastikan pengguna jalan raya mematuhi peraturan dan memandu dengan lancar dan selamat,” jelasnya.
Sementara itu, Op Lancar dilaksanakan setiap hari bermula 24 Januari sehingga 2 Februari di lokasi-lokasi ‘hot spot’ dan ‘black spot’ bagi memastikan keselamatan dan kadar kemalangan jalan raya dapat dikurangkan.
“Kita kenal pasti 50 kawasan hot spot (lokasi yang mengalami kesesakan lalu lintas. Antaranya adalah Jalan Tun Razak/ Susur dari Bulatan Pahang; Jalan Ampang/Jalan Jelatek; Jalan Kg Kerinchi/Bangsar South dan Bulatan Batu Caves.
“Selain itu, kawasan ‘black spot’ (lokasi kemalangan) iaitu Jalan Kuching ; Lebuh Raya DUKE; Lebuh Raya MRR2; Lebuh Raya Seremban; Jalan Cheras; Lebuh Raya Besraya; Jalan Ipoh; Jalan Kepong; Jalan Loke Yew; Jalan Syed Putra dan Jalan Tun Razak,” ujarnya lagi.
Dalam pada itu, kawasan ‘hot spot’ bagi Daerah Putrajaya pula adalah Lebuh Sentosa; Persiaran Perdana; Persiaran Utara; Bulatan PSSASAS / bulatan Salehuddin; Lebuh Perdana Timur; Lebuh Perdana Barat; Persiaran Timur; Jalan P7.
Seterusnya, Lebuh Sentosa; Persiaran Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah; Jalan Bulatan Presint 14; Persiaran Selatan dan Persiaran Utara dikesan kawasan ‘black sport’ di Putrajaya,” katanya.-KOSMO! ONLINE