PENYANYI terkenal dunia, SZA atau nama sebenarnya Solána Imani Rowe menafikan dakwaan sebilangan pihak kononnya dia kini sudah memeluk agama Hindu susulan perkongsian terbaharu memaparkannya mengikuti aktiviti spiritual yoga dalam media sosial.
SZA, 36, yang sebelum ini menegaskan dirinya masih seorang Muslim berkata, yoga bukanlah aktiviti keagamaan seperti didakwa ramai.
“Yoga bukan sebuah agama (atau aktiviti berkaitan agama). Aktiviti ini adalah sains dan cara menyelesaikan masalah (tool box). Harap penjelasan ini membantu,” katanya menjawab kritikan seorang peminat yang mempersoalkan akidahnya.
Pelantun lagu Kill Bill itu juga menegaskan, dia masih seorang Muslim dan aktiviti yang dilakukannya tiada kena-mengena dengan pegangan akidahnya sekarang.
“Benda ini bukan sesuatu yang berkait dengan ajaran Hindu. Saya dibesarkan dengan cara Islam dan Kristian.
“Saya percaya Tuhan akan sentiasa melindungi hamba-hambanya tidak kira di mana kita berada di atas dunia yang luas ini,” katanya menjawab persoalan seorang peminat lain.
Terdahulu, menerusi muat naik terbaharu dalam Instagram, pemenang empat trofi Grammy itu berkongsi aktiviti kerohanian yang dilakukan di India.
SZA mendedahkan dia hidup tanpa gajet selamat lapan hari sepanjang berada di sana demi mendapatkan ketenangan jiwa dan keseimbangan rohani termasuk mengamalkan senaman yoga.
Sekadar info, ibu SZA bernama Audrey Rowe merupakan seorang penganut Kristian sementelah bapanya, Abdul-Alim Mubarak-Rowe menganut agama Islam sehingga kini.
Sebelum bergelar penyanyi popular, SZA pernah mendedahkan bahawa dia sebelum ini berhijab, namun memutuskan untuk tidak lagi menutup aurat disebabkan persepsi khalayak terutama selepas tragedi serangan bom 9/11 di AS. – KOSMO! ONLINE