PADANG BESAR – Tindakan licik seorang pemuda yang cuba menghantar bungkusan dadah melalui sebuah syarikat kurier gagal mengaburi pihak polis apabila dia diberkas dalam satu serbuan, baru-baru ini.
Timbalan Ketua Polis Perlis, Senior Asisten Komisioner Baderulhisham Baharudin berkata, suspek berusia 21 tahun itu ditahan pada 22 Januari lalu kira-kira pukul 3.30 petang hasil maklumat risikan Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Kontinjen Perlis.
“Sepasukan pegawai dan anggota dari JSJN bersama Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Daerah Padang Besar telah menahan seorang lelaki yang dipercayai cuba menghantar empat kotak putih disyaki berisi dadah.
“Hasil pemeriksaan ke atas bungkusan itu menemukan ketulan mampat dan cecair dipercayai dadah jenis ganja dengan berat anggaran 16.6 kilogram (kg) bernilai RM51,646,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.
Katanya, ujian saringan awal air kencing mendapati suspek positif dadah jenis ketamin.
“Selain itu, tindakan turut diambil di bawah Akta Dadah Berbahaya (Pelucuthakan Harta) 1988 dengan penyitaan aset milik suspek bernilai RM50,000,” ujarnya. – KOSMO! ONLINE