PRESTASI cemerlang pelumba berbasikal trek negara sewaktu Grand Prix (GP) Trek Asia Tenggara membuktikan Malaysia mempunyai kombinasi yang mampu mencipta kejayaan lebih besar pada masa akan datang.
Pada Siri 2 Piala Presiden di Velodrom Nasional Malaysia, Nilai baru-baru ini, pelumba elit negara berjaya menuai tiga pingat emas menerusi Muhammad Fadhil Mohd Zonis (keirin), Muhammad Ridwan Sahrom (pecut) dan Nurul Izzah Izzati Mohd. Asri (pecut).
Presiden Persekutuan Kebangsaan Berbasikal Malaysia (PKBM), Datuk Amarjit Singh gembira dengan peningkatan ditunjukkan barisan pelumba negara..
Beliau juga yakin Malaysia kini sudah menemui kombinasi pelumba keirin yang bakal mencipta kejayaan lebih besar terutamanya pada Kejohanan Berbasikal Trek Asia (ACC) 2025 bakal berlangsung bulan depan.
“Dengan kejayaan Fadhil, saya percaya Malaysia akan kembali ke landasan asal di mana kita memiliki dua pelumba keirin yang mampu mencabar kejuaraan di mana-mana kejohanan.
“Kita pernah menyaksikan Josiah Ng dan Datuk Azizulhasni Awang membawa Malaysia ke puncak kejayaan di Sukan Olimpik dan kejohanan antarabangsa.
“Selepas Azizulhasni bersara, saya mencari-cari kombinasi pelumba keirin baharu. Dengan kejayaan Fadhil, saya yakin Malaysia kini mempunyai dua pelumba keirin yang mampu mencipta kejayaan besar,” kata Amarjit yang juga Ahli Jawatankuasa Eksekutif Kesatuan Berbasikal Antarabangsa (UCI).
Amarjit turut memuji kesungguhan dan semangat juang ditunjukkan para pelumba yang kini semakin bersedia untuk menghadapi cabaran ACC 2025 dari 21 hingga 27 Februari ini.
“Keberanian para pelumba untuk menghadapi cabaran di kejohanan antarabangsa seperti Piala Presiden dan ACC 2025 menunjukkan komitmen mereka dalam mengejar kejayaan.
“Kami berharap pencapaian di Piala Presiden ini akan menjadi pemangkin untuk prestasi yang lebih cemerlang di ACC 2025. Ia menjadi medan utama bagi pelumba-pelumba untuk meraih mata penting dalam kalendar UC, seterusnya meningkatkan ranking dunia,” ujar Amarjit.
PKBM kini semakin yakin Malaysia terus memperkukuh kedudukan di peringkat antarabangsa dan mencipta lebih banyak kejayaan dalam sukan berbasikal trek dunia.