fbpx

Sissy Imann hos ada ‘otak’ – Naz Rahman

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Naz menyifatkan Sissy sebagai seorang pengacara yang berpengetahuan luas dalam bidang muzik.

KUALA LUMPUR – Pengacara Naz Rahman menyifatkan penyanyi Sissy Imann sebagai hos yang mempunyai ilmu dalam bidang muzik, sekali gus rakan gandingan bijak bagi mengendalikan Anugerah Juara Lagu ke-39 (AJL39) pada 16 Februari ini.

Nazrudin atau nama lengkapnya Nazrudin Habibur Rahman, 47, bersimpati apabila penyanyi berkenaan berdepan tanggapan buruk sebelum membuktikan kemampuan mengelolakan malam kemuncak pertandingan tersebut.

“Saya sedih melihat apa yang menimpa Sissy. Saya masih ingat lagi sewaktu berusia seperti dia, saya tahu betapa hancurnya hati dan patah semangat apabila menerima kritikan negatif.

“Saya pun sudah bertemu Sissy beberapa kali bagi berbincang mengenai tugasan yang bakal menanti kami berdua.

“Memang ada keserasian antara kami, bahkan saya suka berpasangan dengannya. Sissy hos yang ada ‘otak’ (bijak), banyak ilmu khususnya dalam muzik,” katanya selepas majlis pengumuman Amy Search Magic Konsert Solo Pertama di Society Mont Kiara, semalam.

Pada masa sama, Naz turut menyatakan tidak berkecil hati berdepan reaksi sebilangan netizen yang mendakwa kurang bersetuju dengan pemilihan pengacara bagi edisi AJL kali ini.

Katanya, pihak produksi TV3 mempunyai alasan tersendiri iaitu inginkan kelainan dengan menampilkan pengacara senior bersama hos pelapis sebagai pembaharuan dalam acara hiburan berkenaan.

“Bagi yang sudah lama dalam industri, saya tidak berkecil hati. Saya lebih risau untuk Sissy kerana sebagai rakan, saya tahu tekanan yang bakal dilalui termasuk jangkaan tinggi penonton.

“Saya enggan melihat Sissy patah semangat, namun saya juga bertanyakan produksi TV3 kenapa memilih saya. Mereka mahukan seorang senior dan pelapis untuk berkongsi satu pentas.

“Produksi nyata ingin menonjolkan kelainan selepas hampir empat dekad penganjuran pertandingan lagu berprestij ini,” ujarnya.

Mengimbas pengalaman menonton pentas AJL terdahulu yang diacarakan hos terkenal seperti Azwan Ali dan Fauziah Ahmad Daud, Naz menyatakan ingin menggembalikan kegemilangan acara berprestij ini.

Baginya yang berpengalaman lebih dua dekad sebagai pengacara, pentas AJL dilihat menjadi tumpuan ramai berikutan peranannya selaku platform utama menaikkan nama semua pengkarya lagu termasuk komposer, penulis lirik, penyanyi serta pendatang baharu dalam bidang muzik.

“Saya dibesarkan sewaktu Azwan dan Ogy mengacarakan AJL yang tentu sahaja menyerlahkan kredibiliti mereka sebagai hos berkaliber.

“Pentas AJL bukan sahaja menaikkan nama artis, bahkan lebih utama komposer dan penulis lirik yang berada di belakang tabir.

“Kebanyakan pengkarya muzik kita pula bawah umur 35 tahun yang membuatkan saya sangat kagum. Jadi tanggungjawab kami sebagai pengacara adalah kembalikan era tersebut,” ulasnya.

Terdahulu, ramai kurang senang dengan pemilihan Naz dan Sissy atau Sissy Imann Mohammad Kamil, 30, sebagai hos AJL39 yang bakal berlangsung pada 16 Februari ini.

AJL39 yang akan bersiaran secara langsung di TV3 dari Axiata Arena Bukit Jalil Kuala Lumpur bakal menyaksikan persaingan sengit 10 lagu. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI