MELBOURNE – Pemain tenis No. 1 dunia, Jannik Sinner mengakui masih belum puas dengan pencapaian sedia ada meskipun sudah berjaya mempertahankan kejuaraan pada kejohanan Terbuka Australia.
Pada perlawanan akhir berlangsung di Rod Laver Arena, Melbourne kelmarin, pemain Itali itu menampilkan aksi cukup konsisten untuk mencatat kemenangan 6-3, 7-6, 6-3 ke atas pemain Jerman, Alexander Zverev.
Sinner berkata, sasarannya selepas ini adalah untuk memenangi lebih banyak gelaran Grand Slam dan dia mahu melakukannya di atas permukaan berbeza berbanding gelanggang keras seperti Terbuka Australia.
“Untuk menjadi pemain yang serba lengkap, saya tidak boleh hanya fokus bermain di atas permukaan keras. Saya perlu menunjukkan permainan yang sama apabila bermain di atas gelanggang tanah liat dan rumput.
“Sudah tentu saya lebih selesa bermain di atas gelanggang keras tetapi saya mahu memperbaiki prestasi di atas permukaan lain juga. Saya akan bekerja keras untuk mara lebih jauh dalam Grand Slam yang lain,” katanya.
Mengulas kemenangan ke atas Zverev, Sinner menjelaskan, dia turun dengan motivasi cukup tinggi meskipun ada ketika keadaannya tidak berada pada tahap 100 peratus sepanjang kejohanan itu.
“Apabila sudah melakukannya (juara) sekali, sudah tentu anda mampu mengulangi pencapaian tersebut. Walaupun ada masanya saya tidak berada pada tahap terbaik tetapi saya berjaya menanganinya dengan baik,” ujarnya. – AGENSI