JOHOR BAHRU – Ketangkasan anggota pasukan Batalion 5, Pasukan Gerakan Am (PGA), Simpang Renggam berjaya melumpuhkan sindiket yang menjalankan aktiviti pengumpulan minyak sawit mentah di kawasan Perindustrian Pasir Gudang di sini, Sabtu lalu.
Komander Briged Tengah PGA, Senior Asisten Komisioner Hakemal Hawari berkata, dalam serbuan Op Taring Palma pukul 10 pagi itu, pihaknya memberkas dua lelaki tempatan dan seorang lelaki asing.
Kesemua suspek ditahan berusia 36 hingga 47 tahun ketika memindahkan minyak sawit mentah dari lori tangki ke dalam tong drum lori tiga tan di sebuah premis di lokasi berkenaan.
“Semua saspek gagal mengemukakan dokumen memiliki dan menyimpan minyak sawit mentah. Kita merampas lori tangki, lori tiga tan, empat tong drum, hos getah dan 49 tan minyak sawit mentah bernilai RM294,000,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Hakemal berkata, nilai rampasan dianggarkan berjumlah RM806,500 dan kes disiasat oleh Malaysian Palm Oil Board(MPOB) di bawah Akta Lembaga Minyak Sawit Malaysia.
Jelasnya, minyak sawit itu diperoleh secara sah, namun pemandu lori mengambil kesempatan daripada lebihan minyak di dalam tangki untuk dijual kepada pihak ketiga pada harga lebih murah.
Mereka melakukan pemindahan di kawasan perindustrian bagi mengaburi mata pihak berkuasa.
Tambahnya, dengan tangkapan dan rampasan itu, pihaknya berjaya menumpaskan rangkaian sindiket pengumpulan minyak sawit mentah tanpa permit di Masai dan Pasir Gudang.
“Hasil siasatan awal mendapati sindiket ini beroperasi selama enam bulan. Kedua-dua suspek adalah pemandu lori dan penjaga premis,” katanya. – KOSMO! ONLINE