KLANG – Akibat terdesak membayar hutang along sebanyak RM30,000 membuatkan dua beradik yang sanggup menyimpan van jenazah curi dijatuhi penjara enam bulan oleh Mahkamah Majistret hari ini.
Majistret Amirul Asyraf Abd. Rasid menjatuhi hukuman itu selepas kedua-dua, Abdul Hamid Rizan, 27 dan Faizal, 23, mengaku bersalah atas pertuduhan pilihan.
Kedua-dua tertuduh yang merupakan anak yatim diperintahkan menjalani penjara itu dari tarikh tangkap pada 25 Januari lalu.
Barang kes iaitu van jenazah tersebut dipulangkan semula kepada pemiliknya iaitu masjid yang terletak di Telok Gong di sini.
Mengikut pertuduhan, kedua-dua dengan niat curang telah menyimpan harta curi iaitu sebuah van jenazah bernilai RM30, 000 milik sebuah masjid di Telok Gong di sini yang telah dilaporkan hilang.
Perbuatan itu dilakukan mereka di surau sebuah pangsapuri di Iskandar Puteri, Johor kira-kira pukul 1.05 pagi pada 25 Januari lalu.
Pertuduhan dibuat mengikut 411 Kanun Keseksaan dan dibaca bersama Seksyen 34 Akta sama yang sekiranya disabitkan kesalahan boleh dipenjara sehingga lima tahun dan denda.
Peguam Mark Jeyakumar dalam mitigasinya memaklumkan kedua-dua anak guamnya merupakan pekerja gudang sebuah platform jual beli dalam talian dengan gaji masing-masing sebanyak RM1, 500.
Abdul Hamid telah berkahwin dan mempunyai tiga anak manakala adiknya, Faizal juga telah berkahwin namun belum dikurniakan cahaya mata. Isteri dan keluarga tertuduh berada di Sabah.
“Adalah tidak dinafikan bahawa dua tertuduh simpan van itu. Mereka dijanjikan akan mendapat bayaran sejumlah RM30, 000.
“Tujuan mereka adalah kerana terdesak apabila sekumpulan peminjam wang tidak berlesen yang kerap mengganggu mereka.
“Mereka memohon meminjam wang itu kerana segala pembelanjaan dibiayai abang sulung mereka (Abdul Hamid).
“Sekarang dua anak guam saya menghadapi pertuduhan dan mereka mempunyai dua lagi adik lelaki iaitu berusia 14 dan 18 tahun yang terpaksa menguruskan diri masing-masing termasuk membayar sewa bulanan rumah,” katanya.
Jelasnya, mereka memohon maaf dan berjanji tidak mengulangi perbuatan tersebut.
“Ini kali pertama mereka menghadapi pertuduhan di mahkamah. Justeru, memohon pertimbangan satu bon dibawah Seksyen 173A atau Seksyen 294 Kanun Tatacara Jenayah.
“Tetapi sekiranya mahkamah berpendapat bon tidak sesuai, mohon hukuman penjara minima agar mereka dapat kembali kepada pengakuan keluarga,” katanya.
Bagaimanapun, Pegawai Pendakwa Inspektor Mohamad Rabiul Awal Ishak menegaskan, kes tersebut telah mendapat liputan meluas dalam media sosial.
“Mohon hukuman setimpal bagi kepentingan awam dengan kenderaan curi itu adalah bagi kegunaan pengangkutan jenazah selain barang kes iaitu van jenazah itu dikembalikan semula kepada pemiliknya,” katanya. – KOSMO! ONLINE