KLANG – Polis mengesahkan seorang lagi pekerja asing yang cedera dalam kebakaran kilang di Kawasan Perindustrian Sungai Puloh di sini, minggu lalu meninggal dunia di hospital.
Ketua Polis Daerah Klang Utara, Asisten Komisioner S. Vijaya Rao berkata, ia menjadikan angka kematian dalam kejadian kebakaran pada 22 Januari lalu itu seramai dua orang.
Katanya, siasatan mendapati tujuh individu berada dalam premis itu ketika kejadian dengan tiga daripada mereka cedera.
“Seorang pekerja lelaki meninggal dunia ketika dirawat di Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR) Klang sehari selepas kejadian.
“Seorang lagi lelaki asing turut disahkan meninggal dunia di Hospital Shah Alam keesokan harinya (24 Januari) akibat melecur,” katanya selepas meninjau Pasar Pagi Taman Eng Ann di sini, hari ini.
Kosmo! sebelum ini melaporkan tiga lelaki asing melecur dalam kebakaran melibatkan tiga buah kilang di kawasan berkenaan.
Kebakaran itu melibatkan penyimpanan gas di bangunan tiga tingkat sebelum merebak ke gudang tempat simpanan jentera berat dan kilang memproses tembaga.
Kes diklasifikasikan sebagai kematian mengejut. Pihak bomba masih menyiasat punca kejadian sekiranya wujud unsur perbuatan khianat. – KOSMO! ONLINE