fbpx

‘Semua ini qada dan qadar, sakit adalah penghapus dosa’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Adi reda apabila diuji dengan masalah kesihatan.

PETALING JAYA – Pelakon Datuk Adi Putra menganggap masalah kesihatan dilalui termasuk batu karang dan jangkitan kuman pada paru-paru sebagai dugaan Allah yang mempunyai hikmah tersendiri.

Adi atau nama sebenarnya Mohamed Hadi Putera Halim, 45, berkata, meskipun tahap kesihatannya agak merudum hingga memerlukan rehat sementara, tanggungjawab kerja tetap menjadi keutamaan.

“Saya menerima semua ini sebagai qada dan qadar. Perlu percaya pada Yang Satu. Setiap penyakit adalah penghapus dosa.

“Selebihnya hanya Tuhan yang tahu. Apa yang penting, titian hidup ini perlu dilalui dengan tabah.

“Alhamdulillah, keadaan saya kini semakin baik,” katanya ketika ditemui pada majlis pelancaran koleksi kurta Adi Putra X Qalee, baru baru ini.

Mengulas sama ada ini pengalaman pertama mengalami sakit teruk, pelakon filem Mat Kilau: Kebangkitan Pahlawan itu memaklumkan pernah menghadapi masalah kesihatan sebelum ini, tetapi kali ini lebih mencabar.

“Bukan kali pertama sakit. Sebelum ini pun pernah sakit, cuma kali ini ada kaitan antara penyakit yang dihidapi.

“Saya pun tak tahu apa yang bakal berlaku esok. Namun, selagi sihat, saya tetap mendoakan agar semua orang berada dalam keadaan baik,” ujarnya.

Berhubung perancangan untuk berehat selepas selesai penggambaran drama terbaharu berjudul Sekam Di Dada, Adi berkata, keputusan tersebut masih perlukan pertimbangan kerana bergantung kepada jadual kerja.

“Ada kerja yang perlu ditangguh, tetapi insya-Allah akan diteruskan. Bagi saya, rehat itu hanya datang selepas menghembuskan nafas terakhir.

“Selagi hidup, tanggungjawab mencari ilmu dan berusaha tetap diteruskan. Buat masa ini, saya mengambil ubat dan menjalani pemeriksaan susulan,” katanya.

Tambahnya, doktor pernah menasihatkan supaya berehat, tetapi amanah kerja perlu dilaksanakan kerana melibatkan tugas berpasukan.

“Jujurnya, saya degil. Kalau saya tidak turun set, siapa yang akan menyelesaikan tugas saya? Walaupun sukar, tanggungjawab tetap perlu dilunaskan,” katanya.

Pada Disember lalu, Adi menerima rawatan di sebuah pusat perubatan akibat jangkitan kuman pada paru-paru dan masalah batu karang.

Keadaannya ketika itu dilaporkan lemah sehingga memerlukan rawatan intensif. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI