fbpx

K2

Robotaxi kenderaan pandu sendiri

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
ROBOTAXI dijangka menjadi sebahagian daripada sistem pengangkutan masa depan di China.

MENAIKI salah satu teksi robot (robotaxi) yang paling canggih di dunia kini sudah menjadi kebiasaan di Beijing E-Town, kawasan pembangunan ekonomi-teknologi peringkat kebangsaan di ibu negara China.

Semua ini direalisasikan menerusi kehebatan teknologi yang semakin meningkat, menjadikan industri pemanduan autonomi semakin maju ke arah penggunaan komersial berskala besar.

Menurut naib presiden syarikat pemanduan autonomi negara itu, Pony.ai, Zhang Ning, pada masa ini masyarakat masih dalam fasa ingin tahu dan mencuba menjadikan penggunaan kenderaan tanpa pemandu sebagai gaya hidup.

“Ada yang mungkin berasa gementar apabila mencuba teksi pandu sendiri sepenuhnya ini buat kali pertama.

“Tetapi berdasarkan pengalaman peribadi saya, selepas tiga atau empat minit berada di dalam kenderaan, penumpang akan lupa bahawa mereka berada di dalam kereta tanpa pemandu,” katanya dalam satu temu bual bersama media antarabangsa.

Jelas beliau, hampir 100 robotaxis Pony.ai kini tersedia di zon pemanduan autonomi seluas 160 kilometer (km) persegi yang ditetapkan di Beijing E-Town.

Ia menawarkan perkhidmatan berbayar untuk sesiapa sahaja, pengguna boleh menempahnya menerusi aplikasi mudah alih.

Selain Pony.ai, industri Robotaxis turut diterajui oleh beberapa syarikat pemula lain seperti Baidu, AutoX dan DiDi Chuxing.

Robotaxi berasaskan kecerdasan buatan (AI) semakin berkembang pesat di China, dengan negara ini menjadi antara peneraju utama dalam inovasi teknologi kenderaan autonomi.

Robotaxi ialah kenderaan tanpa pemandu yang menggunakan teknologi AI, sensor, kamera, dan perisian canggih untuk beroperasi secara automatik.

HAMPIR 100 robotaxis Pony.ai kini tersedia di zon pemanduan autonomi seluas 160 kilometer persegi yang ditetapkan di Beijing E-Town, China.

Kongsi Zhang lagi, kerajaan China memberi sokongan penuh kepada pembangunan kenderaan autonomi sebagai sebahagian daripada strategi nasional untuk menjadi peneraju dalam teknologi masa depan.

“Sokongan kerajaan menerusi pembukaan zon demonstrasi pemanduan autonomi yang ditetapkan di Beijing adalah penting untuk pembangunan awal syarikat pemula seperti kami.

“Pihak berkuasa tempatan bercadang untuk meluaskan kawasan ini sehingga meliputi 600km persegi dan memanjangkannya lebih dekat ke pusat bandar,” ujarnya.

Kongsinya, kerajaan pusat dan tempatan di China menduduki tempat pertama di dunia dari segi keterbukaan dan pemahaman mereka tentang pemanduan autonomi atau sekurang-kurangnya setanding dengan Amerika Syarikat.

Walaupun kemajuan teknologi sangat menggalakkan, beberapa cabaran masih wujud seperti isu keselamatan, infrastruktur dan penerimaan awam.

Jelasnya, terdapat kebimbangan tentang bagaimana robotaxi menangani situasi kecemasan di jalan raya.

Tambahan pula, tidak semua bandar mempunyai infrastruktur yang sesuai untuk menyokong kenderaan autonomi, malah orang ramai memerlukan masa untuk mempercayai kenderaan tanpa pemandu.Namun begitu, Zhang turut optimis bahawa robotaxis bakal menjadi masa depan baharu dalam industri automotif dan perjalanan pengguna akan lebih selamat serta efisien.

“Dengan sokongan kerajaan, pelaburan besar-besaran dan kemajuan teknologi, robotaxi dijangka menjadi sebahagian daripada sistem pengangkutan masa depan di China.

“Perkhidmatan ini berpotensi mengurangkan kesesakan lalu lintas, meningkatkan kecekapan tenaga dan menyediakan alternatif pengangkutan yang lebih mesra alam,” tambahnya.

Katanya lagi, jika perkembangan ini terus berkembang, China berkemungkinan besar menjadi peneraju global dalam penggunaan kenderaan autonomi, termasuk robotaxi, dalam beberapa tahun akan datang.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI