PETALING JAYA – Pasukan Gerakan Am (PGA) Sabah berjaya merampas pelbagai mercun bernilai RM101,612 selepas menyerbu sebuah premis di Taman Hot Spring, Jalan Air Panas, Tawau, Sabah.
Serbuan menerusi Ops Taring Charlie oleh Pasukan Task Force Perisikan Batalion 14 PGA Tawau itu juga turut menahan seorang lelaki.
Menerusi satu kenyataan di laman Facebook Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteram Awam (JKDNKA) hari ini, operasi itu dilakukan hasil maklumat risikan.
Malah kata kenyataan itu, pengesahan dokumen mendapati premis tersebut beroperasi menggunakan lesen yang telah tamat tempoh.
“Kes ini disiasat di bawah Seksyen 3(1) dan Seksyen 8 Akta Bahan Letupan 1957.
“Tindakan lanjut akan diteruskan untuk membanteras aktiviti tidak sah yang boleh mendatangkan bahaya kepada masyarakat,”kata kenyataan itu. – KOSMO! ONLINE