SITUASI Kelantan Darul Naim FC (KDN FC) semakin kritikal dan perlu diberikan ‘rawatan segera’ selepas dibelasah Perak FC 7-0 pada aksi Liga Super di Stadium Majlis Perbandaran Manjung, kelmarin.
Keputusan itu melengkapkan lagi episod duka peminat bola sepak Kelantan selepas isu gaji menyaksikan bintang import seperti Oday Kharoub dan Washington Brandao sudah ‘mengangkat kaki’ meninggalkan pasukan.
“Saya tahu kepincangan Kelantan dan kita guna peluang terhidang. Saya katakan kepada pemain, kita sudah berada di hujung liga dan mereka kena guna peluang menaikkan kembali nama mereka dengan tunjukkan aksi lebih baik.
“Itu yang kita dapat lihat, semua pemain mahu curahkan segala yang mereka ada. Apabila dapat jaringan besar, saya harap pemain lebih fokus untuk aksi selepas ini yang bagi saya pasti lebih sukar,” kata pengendali Perak, Yusri Che Lah.
Pada perlawanan itu, Clayton Da Silva merekodkan empat gol diikuti satu daripada Luciano Guaycochea, Adilet Kanybekov dan Tommy Mawat Bada.
Sementara itu, penolong jurulatih KDN, Rezal Zambery Yahya tidak dapat menyembunyikan isu yang menghimpit pasukan memberi kesan besar kepada pemain.
“Saya ucap terima kasih kepada pemain sebab sanggup datang bermain kerana kita tahu pasukan tidak begitu baik.
“Saya pun baharu jumpa pemain semalam (Sabtu) selepas lama tidak berlatih bersama dan apa yang kita lihat kondisi pemain tidak begitu baik,” katanya.