fbpx

Pemandu bas halang ambulans, kata lampu terlalu silau

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Pemandu bas menghalang ambulans daripada memintas kenderaannya kerana lampu mata arah dikatakan terlalu silau. - Istimewa

JAKARTA – Sebuah video tular di media sosial Indonesia memaparkan pertengkaran antara pemandu sebuah bas ekspres dengan pemandu ambulans yang membawa jenazah, lapor laman berita Abata News.

Kejadian berlaku berhampiran plaza tol Bandung, wilayah Jawa Barat.

Pertengkaran tercetus apabila pemandu bas Juragan99 itu dikatakan tidak berpuas hati kerana lampu mata arah ambulans membuatkan pandangannya menjadi silau.

Dalam video tersebut, ambulans yang berada dalam keadaan tergesa-gesa dan membunyikan siren dihalang oleh pemandu bas berkenaan.

Selepas kedua-dua kenderaan itu berhenti, pemandu bas memberitahu bahawa pandangannya menjadi silau ekoran lampu mata arah ambulans terlalu terang.

“Peraturan ambulans, abang. Saya bawa jenazah, perlu membunyikan siren dan menyalakan lampu mata arah,” kata pemandu ambulans.

Pemandu bas kemudian membalas dengan berkata, pemandu ambulans tidak sepatutnya memotong kenderaannya.

“Lampu awak sangat mengganggu saya. Saya pintas, awak memintas saya kembali,” katanya.

Pemandu ambulans dilihat semakin marah dan menjelaskan tujuan dia memotong bas tersebut.

“Saya memotong kenderaan awak kerana ada tujuan jelas iaitu menghantar jenazah,” katanya.

Video itu menjadi tular dan menerima pelbagai komen daripada netizen.

“Pemandu bas ini baru kali pertama lihat ambulans ya?” kata seorang netizen.

Sementara itu, syarikat pengurusan bas Juragan99 kemudian tampil membuat permohonan maaf berhubung insiden itu.

“Kami merakamkan kekesalan dan permohonan maaf yang mendalam kepada semua pihak terjejas. Kami komited untuk menegakkan prinsip keselamatan dan pematuhan dalam setiap perjalanan bas kami,” katanya. – AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI