IPOH – Seorang lelaki warga Myanmar cedera tangan kanan selepas tersepit mesin pengisar gula batu di sebuah kilang di Jelapang di sini hari ini.
Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak, Sabarodzi Nor Ahmad berkata, pihaknya menerima maklumat kejadian pada pukul 8.08 pagi.
Katanya, sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Meru Raya yang diketuai Komander Operasi, L. Rambaboo tiba di lokasi kejadian bersama enam anggota.
“Ketika tiba di lokasi, didapati seorang mangsa lelaki warga Myanmar berusia 21 tahun telah tersepit tangan kanan pada mesin pengisar gula batu.
“Ketua operasi mengarahkan anggota melaksanakan kerja-kerja penyelamatan menggunakan peralatan hidraulik sehingga tangan mangsa berjaya dikeluarkan,” katanya di sini hari ini.
Menurut beliau, mangsa yang cedera segera dibawa ke hospital menaiki jentera Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) untuk rawatan lanjut. – KOSMO! ONLINE