PORT DICKSON – Pasangan kekasih yang ditangkap sebelum ini kerana dipercayai menyembunyikan kelahiran dan menyebabkan kematian seorang bayi disambung reman tujuh hari lagi.
Ketua Polis Daerah Port Dickson, Superintendan Maslan Udin berkata, perintah kebenaran sambung reman dikeluarkan Majistret Hairun Najmi Mashahadi bermula hari ini hingga 4 Februari depan untuk membantu siasatan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.
Semalam, Maslan berkata, jenazah bayi berkenaan sudah pun diserahkan kepada keluarga suspek perempuan untuk dikebumikan.
“Penyerahan dilakukan selepas bedah siasat selesai dan jenazah telah dikebumikan di Tanah Perkuburan Taman Intan Perdana, Telok Kemang,” katanya.
22 Januari lalu, media melaporkan sepasang kekasih masing-masing berusia 18 tahun dan 21 tahun ditangkap polis di dua lokasi berasingan di daerah ini malam semalam selepas dipercayai menyembunyikan kelahiran dan menyebabkan kematian kepada seorang bayi perempuan.
Siasatan lanjut yang dijalankan oleh pihak polis telah menemui bayi tersebut yang disembunyikan dalam beg di sebuah bilik di Taman Intan Perdana, Telok Kemang. – KOSMO! ONLINE