PETALING JAYA – Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh akan mengambil tindakan undang-undang kepada Pesuruhjaya Pas Perak, Razman Zakaria susulan dakwaan mengaitkannya dengan keluarga konglomerat Kumpulan YTL.
Perkara itu ditegaskan oleh Hannah menerusi hantaran ringkas pada platform X hari ini.
“Sebenarnya ucapan Razman yang menuduh saya macam-macam melebihi satu minit. Nantikan surat daripada peguam saya.
“Fitnah tidak boleh dibenarkan menjadi satu kebiasaan terutamanya oleh orang yang beragama,” katanya.
Sebelum ini sebuah portal melaporkan, Razman sekali lagi mencipta kontroversi mengaitkan Hannah dan YTL.
Kumpulan YTL diasaskan oleh mendiang Tan Sri Dr. Yeoh Tiong Lay.
Berikutan itu, Hannah membidas Razman sambil mengingatkan Pas bahawa tidak semua individu bernama Yeoh mempunyai kaitan dengan YTL.
Razman yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Semanggol kemudian memohon maaf kepada kedua-dua pihak atas kesilapan yang dilakukannya.
Beliau mengakui terkhilaf apabila mengaitkan Hannah dengan konglomerat YTL menerusi satu video semasa Ceramah Kebangkitan Rakyat di Seri Iskandar, Parit, Ahad lalu. – KOSMO! ONLINE