GEORGE TOWN – Penunggang motosikal kuasa tinggi yang maut dalam kemalangan dengan isterinya di Chumphon, Thailand pagi tadi dikatakan beria mengajak rakan baiknya berkonvoi dan bercuti panjang bersama.
Amar Farhan Jali, 39, berkata, dia tidak menyangka ajakan Mohd. Sofi Ismail, 43, adalah yang terakhir sebelum mangsa dan isteri, Zaimima Ismail, 43, dijemput Ilahi kira-kira pukul 10.30 pagi tadi.
Menurutnya Amar, arwah Mohd. Sofi juga sempat meninggalkan ucapan hari lahirnya hari ini di group WhatsApp pemotoran mereka pada pukul 7.20 pagi tadi sebelum tiga jam kejadian kemalangan berlaku.
“Saya sedih bila kenangkan semula yang arwah beria ajak bercuti bersama ke Thousand Corner di Thailand. Malah, arwah sempat meninggalkan ucapan hari jadi saya di WhatsApp termasuk di Facebook milik saya pagi tadi sebelum terlibat kemalangan.
“Kami juga sempat membuat panggilan video pada pukul 12.48 malam tadi dan saya ada menasihatinya supaya hati-hati ketika dalam perjalanan pulang ke Pulau Pinang.
“Arwah juga beritahu dia seronok di sini (Thailand). Dia cakap rugi saya tak dapat pergi dengannya,” ujarnya di sini malam tadi.
Amar memberitahu lagi, dia memang akrab dengan Mohd. Sofi sejak lima tahun lalu dan menyifatkan arwah seorang yang baik serta gemar merakamkan gambar kenangan walau di mana berada.
“Saya dan isteri serta anak kini dalam perjalanan ke sempadan Bukit Kayu Hitam. Kami memang rapat dengan arwah dan isterinya,” tambahnya.
Terkini, kenderaan yang membawa jenazah pasangan terbabit telah tiba di sempadan Bukit Kayu Hitam kira-kira pukul 11.56 malam tadi.
Jenazah akan dikebumikan di Masjid Darul Ulum, Merbau Pulas, Kuala Ketil di Kedah esok.
Terdahulu, Kosmo! melaporkan satu pasangan suami isteri dilaporkan maut apabila motosikal berkuasa tinggi yang mereka tunggang dikatakan terbabas semasa berkonvoi di Chumphon, Thailand.
Dalam kejadian kira-kira pukul 10.30 pagi itu, kedua-dua mangsa yang merupakan peniaga roti canai di Pongsu Seribu, Kepala Batas di sini disahkan meninggal dunia di tempat kejadian. – KOSMO! ONLINE