fbpx

K2

Memori permainan video pita Asmidar

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
ASMIDAR menyatakan permainan video pita menyimpan banyak kenangan ketika Asmidar membesar bersama adik-beradiknya.

SEBUAH permainan video retro yang dihadiahkan oleh bapa ketika masih di bangku persekolahan merupakan gajet pertama yang hadir dalam hidupnya.

Meskipun dibeli untuk dikongsi bersama adik-beradik lain, pelantun lagu Biar Sampai Ke Bintang, Asmidar, mengatakan gajet itu banyak memberi kenangan buat dirinya.

Kongsinya, permainan video pita (tape) dibelikan bapanya sebagai pengisi masa lapang ketika cuti sekolah.

“Banyak kenangan saya dengan permainan video itu, kami adik-beradik berebut mahu main sampai dimarahi ayah.

“Walaupun begitu, permainan video ini juga yang mengeratkan hubungan kami adik-beradik dan pada masa sama kami turut terdedah dengan teknologi pada masa itu,” katanya ketika ditemui K-Teknologi di Pelancaran

Konsert Ajai dan Mega Friends di Restoran Wild Rice, Hoyel, St. Giles, Boulevard, Mid Valley City, Kuala Lumpur.

Tambahnya, selain permainan video, Asmidar mengakui dia tidak banyak terdedah kepada gaya hidup teknologi ketika membesar.

Namun begitu, keluarganya memiliki beberapa peranti yang ada di rumahnya seperti komputer meja, kamera filem dan telefon bimbit.

Kongsi juara Vokal Bukan Sekadar Rupa musim pertama itu, dia memiliki telefon bimbit pemberian bapanya ketika di tingkatan tiga, yang hanya boleh digunakan selepas sesi persekolahan atau untuk berhubung dengan ibu bapa semasa keluar rumah.

“Saya tidak ingat jenama telefon pada masa itu, sama ada Ericsson atau Siemens, tetapi memang kebanyakkan masa mak dan ayah yang pegang.

“Pada masa itu telefon kita guna untuk panggilan atau pesanan ringkas (SMS) sahaja dan saya boleh guna jika bukan waktu sekolah,” ujarnya.

Selain telefon bimbit, Asmidar juga pernah memiliki laptop pertama jenama Dell yang juga dibelikan oleh bapanya semasa menyambung pengajian di universiti.

Katanya, laptop tersebut bukanlah yang canggih tetapi berupaya untuk menyiapkan tugasan dan menggunakan perisian penting.

Asmidar turut mengakui dia bukanlah seorang yang bergaya hidup teknologi (tech savvy), tetapi masih mengambil tahu perkembangan gajet terkini. Padanya, gajet sekadar memenuhi keperluan dan menaik taraf gajet juga bergantung jika ciri baharu yang ditawarkan adalah sesuatu yang diperlukan.

Selepas membina kerjaya sebagai penyanyi, Asmidar berkongsi bahawa dia mula membeli gajet sendiri seperti telefon pintar dan Apple Macbook.

“Antara telefon pintar yang saya beli sendiri adalah Iphone 2 dan telefon Blackberry, selepas itu baru saya kumpul duit lagi beli Macbook yang menjadi keperluan buat saya untuk belajar muzik.

“Macbook tersebut merupakan antara gajet yang paling setia dengan saya dan tahan lama serta paling efisyen untuk saya membuat kerja,” kongsinya.

Berkongsi tentang gajet idaman, Asmidar berkata, dia bercita-cita untuk memiliki set barangan studio nyanyian dan mikrofon persembahan sendiri pada masa akan datang.

Jelasnya, kedua-dua gajet tersebut merupakan satu keperluan buatnya terutama dalam latihan nyanyian serta memberi persembahan terbaik di pentas.

“Saya idamkan gajet studio sendiri untuk berlatih dan pada masa sama membuat kandungan nyanyian di media sosial.

“Untuk mikrofon pula, itu memang saya idamkan dari dulu dan menjadi target saya pada masa hadapan sebagai ganjaran buat diri sendiri serta salah satu pencapaian dalam bidang nyanyian,” ujarnya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI