ISKANDAR PUTERI – Seorang lelaki Indonesia dan seorang lelaki Bangladesh ditahan polis Jumaat lalu selepas dipercayai terlibat dengan pengedaran dadah di Nusa Bestari, di sini.
Ketua Polis Daerah Iskandar Puteri, Asisten Komisioner M. Kumarasan berkata, suspek berusia 39 dan 43 tahun itu ditahan bersama pelbagai jenis dadah bernilai RM373,664.
“Siasatan awal dibuat mendapati lelaki warga Indonesia merupakan ‘runner’, manakala lelaki Bangladesh adalah salah seorang pekerja.
“Kita percaya pasaran sindiket dadah ini adalah dalam kalangan warga asing yang bekerja di sekitar bandar raya ini,” katanya dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Daerah Iskandar Puteri, di sini hari ini.
Tambah Kumarasan, pihaknya masih menyiasat penglibatan individu lain dalam sindiket berkenaan termasuk dalangnya.
“Antara dadah dirampas termasuklah 2,101.1 gram (g) serbuk ekstasi, 115.5g ganja, 595.21g syabu, 2.2g heroin dan 3g pil Eramin 5 yang jika kekal di pasaran, ia boleh digunakan seramai lebih 1,500 penagih.
“Ujian urin mendapati kedua-dua suspek positif dadah jenis methamphetamine, namun tidak mempunyai rekod jenayah lampau,” ujarnya.
Kumarasan turut memberitahu, kedua-dua suspek kini ditahan reman selama tujuh hari hingga 31 Januari depan bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.-KOSMO! ONLINE