PETALING JAYA – Tindakan seorang lelaki menyimpan serta memiliki seekor burung helang merah membawa padah apabila di tahan pihak berkuasa semalam.
Penahanan lelaki berkenaan dibuat selepas pihak berkuasa menyerbu sebuah lokasi penternakan kambing di Kampung Sri Aman, Kota Tinggi, Johor menerusi Operasi Bersepadu Khazanah (OBK).
Menerusi satu kenyataan di laman Facebook Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteram Awam (JKDNKA) berkata, operasi terbabit dilakukan oleh Pasukan Simpanan Persekutuan (PSP) dengan kerjasama pegawai daripada Jabatan Perlindungan Haiwan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Johor.
Jelas JKDNKA, burung helang spesis (Haliastur Indus) dianggarkan bernilai RM19,000 seekor dan turut dirampas sebuah sangkar kekal bernilai RM3,500.
“Jumlah keseluruhan rampasan sebanyak RM22,500 dan kes disiasat di bawah Akta Pemuliharaan Hidupan Liar 2010 (Akta 716) Pindaan 2022,”kata JKDNKA.
Difahamkan, burung helang adalah spesies hidupan liar yang dilindungi sepenuhnya di bawah Akta 716.
Jika disabit kesalahan di bawah seksyen 68(2)(a) akta berkenaan, boleh didenda tidak melebihi RM100,000 atau penjara tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya.
Mengulas lanjut, JKDNKA berkata, operasi itu mencerminkan komitmen berterusan dalam usaha melindungi khazanah negara daripada ancaman pihak yang tidak bertanggungjawab.
“Kerjasama kita semua amat penting untuk memastikan kelestarian alam semula jadi terus terjaga,”katanya. – KOSMO! ONLINE