NEW DELHI – Seekor harimau bintang gergasi ditemukan mati akibat digilis kenderaan di sebuah lebuh raya di negeri Andhra Pradesh, India, lapor stesen penyiaran NDTV semalam.
Kejadian berlaku di Lebuh Raya Vijayawada dekat bandar Nellore.
Menurut beberapa saksi, haiwan itu terbaring di atas jalan selama sejam dengan luka yang parah.
“Tiada siapa berani mendekatinya kerana bimbang diserang,” kata seorang saksi.
Menurut polis tempatan, kenderaan yang melanggar haiwan pemangsa itu melarikan diri dari tempat kejadian.
Rakaman yang disiarkan memaparkan pegawai jabatan hutan membungkus bangkai itu dengan sehelai kain dan daun.
“Bangkai dipindahkan ke tempat yang lebih selamat. Kami juga sedang mencari kenderaan yang melanggar ‘kucing’ besar itu,” tambah polis. – AGENSI