LAWAS – Seorang kru sebuah kapal kargo dikhuatiri lemas apabila hilang selepas kapal itu karam di Laut Awat-Awat Sundar di sini.
Kejadian berlaku ketika kapal kargo terbabit dalam perjalanan membawa batu dari Sipitang menuju ke Brunei.
Jurucakap Pusat Gerakan Operasi Bomba Sarawak berkata pasukan dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Lawas telah dikerahkan ke lokasi sejurus selepas menerima laporan mengenai kejadian kira-kira pukul 9 pagi tadi.
“Dalam kejadian itu, enam kru kapal berjaya menyelamatkan diri manakala seorang masih belum dijumpai,” katanya dalam kenyataan.
Beliau berkata ketika ini, operasi pencarian sedang giat dilaksanakan melibatkan pasukan bomba, polis dan Pengawal Pantai Sarawak. – KOSMO! ONLINE