SYDNEY – Anggota-anggota bomba berusaha keras untuk memadamkan kluster kebakaran yang pantas merebak di tenggara Australia hari ini, menyaksikan beribu-ribu hektar tanah di taman negara hangus, manakala komuniti setempat terpaksa berpindah.
Panahan petir semalam mencetus sebilangan kebakaran hutan di Taman Negara Grampians iaitu kawasan pergunungan dipenuhi hutan terletak kira-kira 300 kilometer ke barat ibu negeri Victoria, Melbourne.
Kebakaran berasingan di Taman Negara Gurun Kecil, barat Victoria pula memusnahkan hampir 65,000 hektar kawasan dalam masa kurang 24 jam, kata perkhidmatan kecemasan sambil menambah, kawasan musnah hampir menyamai keluasan Singapura.
Kebakaran itu memaksa penduduk di kawasan pedalaman Dimboola berpindah sebelum tahap ancaman berkurangan tengah hari ini.
“Saya sangat bersyukur kerana tiada kemalangan jiwa berlaku dan juga tiada laporan kecederaan,” kata Pesuruhjaya Pengurusan Kecemasan, Rick Nugent kepada pemberita.
Dalam perkembangan sama, pegawai Pengurusan Kebakaran Hutan Victoria, Chris Hardman memberi amaran bahawa keadaan cuaca panas untuk tempoh beberapa hari akan datang meningkatkan risiko kebakaran hutan terus merebak.
“Ketika ini anggota-anggota bomba merancang melakukan segala upaya untuk melindungi penduduk,” katanya. – AFP