WASHINGTON – Aplikasi pemetaan popular, Google Maps akan menukar nama Teluk Mexico kepada Teluk Amerika sebaik sahaja ia secara rasmi dikemas kini dalam Sistem Nama Geografi Amerika Syarikat, lapor laman berita DW.
Google dalam catatan di aplikasi X menyatakan bahawa pihaknya mempunyai ‘amalan biasa untuk menggunakan perubahan nama setelah dikemas kini dalam sumber rasmi kerajaan.’
Perubahan itu ditetapkan untuk pengguna di AS sahaja. Aplikasi itu akan terus menggunakan nama Teluk Mexico di Mexico.
Di luar AS dan Mexico, pengguna Google Maps akan melihat kedua-dua nama tersebut dipaparkan.
Jabatan Dalam Negeri AS berkata pada minggu lalu bahawa jabatan berkenaan secara rasmi menukar nama Teluk Mexico kepada Teluk Amerika.
Ujarnya, Lembaga Nama Geografi AS sedang berusaha pantas untuk mengemas kini nama tersebut dalam Sistem Maklumat Nama Geografi.
Google selain itu mengumumkan bahawa ia akan menukar kembali nama puncak tertinggi di Amerika Utara, Denali kepada Gunung McKinley pada Google Maps.
Presiden AS, Donald Trump mengarahkan pertukaran nama itu sebagai sebahagian daripada beberapa perintah eksekutif yang ditandatanganinya, beberapa jam selepas beliau memegang jawatan pada 20 Januari lalu. – AGENSI