PETALING JAYA – Ketua Pegawai Eksekutif Harimau Malaya, Robert Friend akhirnya mengesahkan seorang pemain warisan dari Belanda kini kini dalam fasa akhir untuk mendapatkan pasport Malaysia bagi mewakili skuad Harimau Malaya pada masa akan datang.
Kata Friend, tiga lagi pemain warisan untuk wakili Harimau Malaya juga dalam proses mendapatkan kerakyatan.
“Proses mendapatkan pasport Malaysia untuk pemain warisan dari Belanda kini berada di peringkat akhir. Tiga lagi pemain juga dalam proses mendapatkan kerakyatan.
“Kami berharap ingin mengambil langkah yang cemerlang apabila Kelayakan Piala Asia 2027 bermula pada Mac.
“Dengan mempunyai pilihan yang lebih luas dengan pemain-pemain warisan ini akan meningkatkan peluang bagi aspirasi kami untuk membawa Harimau Malaya ke peringkat seterusnya,” katanya dalam satu kenyataan sebentar tadi.
FAM sebelum ini telah melakukan langkah awal dengan berusaha umembawa masuk pemain kelahiran Belanda yang mewakili kelab Go Ahead Eagles, Mats Deijl.
Misi tersebut gagal kerana tidak melepasi syarat Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) untuk menukar kerakyatan selepas hanya mempunyai darah keturunan Malaysia melalui moyangnya.
Syarat utama FIFA untuk mana-mana pemain mewakili negara selain negara kelahiran adalah memiliki darah warisan sekurang-kurangnya menerusi datuk atau nenek kandung mereka. – KOSMO! ONLINE