fbpx

Cucu datang rumah mengadu lapar sebelum lemas di tali air

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Zainab kelihatan sugul ketika ditemui di rumahnya di Kampung Gong Machang, Gunong dekat Bachok hari ini. Foto oleh ROHANA MOHD. NAWI/ KOSMO!

BACHOK – Salah seorang daripada dua beradik yang lemas di tali air di Kampung Kubang Telaga, di sini semalam sempat mengadu lapar kepada neneknya sebelum keluar memancing di kawasan tersebut bersama adik dan rakannya.

Dalam kejadian kira-kira pukul 6 petang itu, Muhamad Amirul Mukminin Zehan, 17, ditemui lemas kira-kira pukul 8.25 malam manakala adiknya, Muhammad Asadullah, 11, ditemukan pada pukul 9.29 pagi tadi selepas lebih 15 jam hilang.

Nenek kepada kedua-dua mangsa, Zainab Said, 73, berkata, Muhamad Amirul Mukminin yang merupakan cucu sulungnya datang ke rumah di Kampung Gong Machang, Gunong di sini pada pukul 8 pagi.

Menurutnya, Muhamad Amirul Mukminin ketika itu meminta wang sebanyak RM5 bagi membeli roti canai untuk sarapan pagi.

“Saya beri wang itu kerana dia mahu sangat makan roti canai di sebuah gerai. Dia datang lagi ke rumah pada pukul 5.30 petang dan mengadu lapar kerana makan nasi dalam kuantiti sedikit pada waktu tengah hari.

“Saya menyuruh Muhamad Amirul Mukminin menggoreng telur di dapur untuk mengalas perut, namun dia enggan sebelum memberi alasan mahu keluar memancing bersama Muhammad Asadullah dan seorang lagi rakan,” katanya ketika ditemui Kosmo! di rumahnya di sini hari ini.

Zainab memberitahu, selepas hampir sejam Muhamad Amirul Mukminin keluar, rakannya datang ke rumah dan memaklumkan bahawa arwah dan adiknya lemas di tali air.

“Arwah Muhamad Amirul Mukminin merupakan cucu yang baik dan seorang pelajar yang cemerlang. Dia akan datang menjenguk saya di rumah setiap hari dan sering membantu membeli barangan dapur di kedai.

“Saya kini hilang orang yang sangat membantu urusan saya dan arwah juga merupakan cucu yang paling rapat dengan saya,” ujarnya.

Menurutnya, jenazah kedua-dua cucunya dijangka dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Bukit Kecik, Gunong di sini selewat-lewatnya petang ini.

Kosmo! Online hari ini melaporkan, niat murni seorang abang untuk menyelamatkan adiknya yang terjatuh ke dalam tali air berakhir dengan tragedi apabila kedua-dua mereka lemas di Kampung Kubang Telaga di sini semalam. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI