GEORGE TOWN – Polis Pulau Pinang berjaya melumpuhkan sindiket penyeludupan senjata api apabila merampas 801 butir peluru, lima pucuk pistol serta selaras senapang jenis M4 di kawasan perairan berhampiran Sungai Perai, di sini semalam.
Selain rampasan pelbagai jenis senjata itu, empat lelaki dipercayai nelayan masing-masing dua warga tempatan dan Indonesia berusia 22 hingga 57 tahun diberkas.
Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Hamzah Ahmad berkata, pasukan Unit Risik Marin, Pasukan Polis Marin (PPM) Wilayah Satu menahan dua bot fiber gentian kaca pada kedudukan 1.85 kilometer barat daya Sungai Perai, kira-kira pukul 3.10 petang.
“Rampasan melibatkan lima pucuk pistol jenis Glock, Sig Sauer dan Smith & Wesson bersama kelopak peluru selain selaras senapang M4 Carbine, 801 butir peluru termasuk 600 butir untuk M4 dan 200 butir peluru jenis 9mm.
”Kita turut merampas wang tunai RM4,030, dua buah bot fiber tanpa pendaftaran serta peralatan komunikasi seperti telefon satelit dan GPS,” katanya pada sidang akhbar di Markas PPM Wilayah Satu di Batu Uban, di sini hari ini.
Menurut beliau, senjata api itu dipercayai diperoleh dari Thailand dan dibawa masuk ke negara ini menerusi jalan laut. Ia mungkin digunakan bagi kegiatan jenayah di Malaysia.
“Suspek warga asing bekerja sebagai nelayan yang masuk melalui laluan sah menggunakan pasport, tetapi menyalahgunakannya untuk aktiviti jenayah. Mereka dipercayai baru kali pertama menjalankan kegiatan penyeludupan senjata api ini,” katanya. – KOSMO! ONLINE