fbpx

K2

Bomba di Kedah cipta Hitcham Bit, cepatkan usaha padam kebakaran

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Kumpulan PokSen dari BBP Pokok Sena, Kedah berjaya meraih johan dalam pertandingan inovasi peringkat kebangsaan Sempena Minggu Inovasi JBPM 2024.

SEJAK sekian lama, pegawai dan anggota bomba yang bertugas di lapangan sering berdepan masalah untuk menggunakan pili bomba. Ini kerana, kotak ‘chamber’ yang terletak di tepi pili sering dimasuki tanah atau batu.

Disebabkan itu, anggota bomba perlu berhempas-pulas mengeluarkan tanah keras serta batu-batuan dari kotak ‘chamber’ berkenaan.

Jika tidak, mereka sukar membuka ‘false spindle’ yang terletak di dalam kotak itu, sekali gus menyebabkan pili bomba tidak boleh digunakan bagi memadam kebakaran.

Ada kalanya, tempoh yang diperlukan untuk mengorek tanah di kotak ‘chamber’ boleh mengambil masa sehingga 30 minit.

Situasi sedemikian sudah tentu memberi kesan terhadap usaha memadam kebakaran yang perlu dilakukan secepat mungkin.

Setelah sekian lama berdepan isu sedemikian, 10 pegawai dan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Pokok Sena, Kedah telah berusaha mencari jalan penyelesaian.

Pada pertengahan tahun lalu, mereka berjaya melakukan inovasi dengan mencipta peralatan menggali dan menggerudi yang amat praktikal serta menjimatkan tenaga.

Diberi nama ‘Hicham Bit’, produk yang pada mulanya dicipta bagi memudahkan tugas itu tanpa disangka membawa tuah kepada pasukan itu.

Mereka berjaya meraih johan dalam pertandingan inovasi peringkat kebangsaan sempena Sambutan Minggu Inovasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) 2024.

‘HICHAM Bit’ hanya memerlukan tenaga kerja seorang untuk mengendalikannya.

Menurut Ketua BBP Pokok Sena, Pegawai Bomba Tinggi, Bakar Saad, kemenangan kumpulan yang menggunakan nama ‘PokSen’ itu cukup manis kerana produk tersebut mendapat perhatian banyak pihak.

Katanya, tidak hanya dalam kalangan pegawai dan anggota bomba, produk itu juga menarik minat pelbagai agensi dan jabatan kerajaan selain syarikat swasta.

Jelasnya, ada yang memberi komitmen untuk mengkomersialkan Hicham Bit, jika dapat dihasilkan dalam skala besar.

“Produk ini kelihatan simple, namun memberi impak besar kepada usaha untuk mengorek tanah di ruangan sempit.

“Sebab itu, produk ini sangat berguna kepada anggota bomba bagi mengeluarkan tanah-tanah dalam kotak ‘chamber’ yang menempatkan ‘false spindle’ di tepi pili bomba.

“Dengan menggunakan mata seperti gerudi, produk ini mampu mengorek dan mengeluarkan tanah dengan cepat tanpa memerlukan tenaga kerja yang banyak,” katanya.

Tambahnya, jika sebelum ini anggota bomba memerlukan masa sehingga setengah jam untuk mengeluarkan tanah tersebut dengan tenaga antara dua hingga tiga orang, penggunaan Hicham Bit pula hanya memerlukan masa selama lima minit, melibatkan seorang tenaga kerja.

Bercakap mengenai idea untuk menghasilkan Hicham Bit, Bakar berkata, segalanya bermula apabila pihaknya berdepan kesukaran untuk mengeluarkan tanah dari kotak ‘chamber’ sebuah pili bomba ketika kebakaran kedai di Pokok Sena pada malam Aidilfitri, tahun lalu.

“Dalam kejadian itu, tanah yang memenuhi kotak ‘chamber’ tersebut terlalu keras dan tidak dapat dikeluarkan untuk membuka ‘false spindle’.

“Disebabkan itu, kami tidak dapat menggunakan pili bomba dan terpaksa meminta bantuan jentera yang membawa tangki air.

“Bermula dari situ, idea untuk menghasilkan Hicham Bit timbul. Setelah kami menggunakannya, tindakan ketika kecemasan menjadi lebih pantas,” katanya.

Di sebalik kegunaannya yang pelbagai dan amat praktikal, Bakar memaklumkan, kos untuk menghasilkan Hicham Bit adalah di bawah RM300.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI