ABUJA – Sebuah penerbangan United Airlines terpaksa mendarat cemas selepas kapal terbang itu dilanda pergolakan udara yang teruk, menyebabkan hampir 40 orang cedera, lapor akhbar New York Post semalam.
Kejadian melibatkan Penerbangan 613 selepas ia berlepas kira-kira 93 minit dari Nigeria menuju Lapangan Terbang Antarabangsa Dulles di negeri Virginia, Amerika Syarikat (AS).
Menurut data laman web pengesan pesawat Flightradar24, pesawat Boeing 787-800 membawa 245 penumpang dan 11 kru kabin itu terpaksa berpatah balik ke Lapangan Terbang Antarabangsa Murtala Muhammed, negeri Lagos pada Jumaat lalu.
Rakaman yang tular di media sosial memaparkan makanan, dulang serta barang penumpang tercampak ke lantai semasa kejadian.
Penumpang panik dan menjerit selepas pesawat itu kehilangan altitud secara tiba-tiba.
Pihak berkuasa Lapangan Terbang Persekutuan Nigeria berkata, kira-kira 31 penumpang dan tujuh kru penerbangan cedera.
“Empat penumpang dan dua kru kabin mengalami cedera parah. Mereka dibawa ke Hospital Duchess di Ikeja,” katanya.
Syarikat penerbangan United Airlines berkata: “Masih belum jelas apa yang menyebabkan pesawat itu huru-hara.”
“Kami akan bekerjasama dengan pihak berkuasa untuk mengenal pasti punca kejadian,” tambah syarikat itu. – AGENSI