JAKARTA – Sekumpulan peniaga di Indonesia mengundang perhatian orang ramai kerana menjual pelbagai makanan bergoreng meskipun air banjir mencapai paras lebih 1 meter, lapor portal berita Merdeka.com semalam.
Kejadian berlaku di Landak, wilayah Kalimantan Barat baru-baru ini.
Rakaman dimuat naik di platform TikTok oleh @aming_bangor memaparkan ‘kedai’ mereka dipenuhi dengan pelanggan yang tinggal berhampiran.
Bahkan, pelanggan mereka sanggup datang untuk membeli walaupun air banjir mencapai paras dada orang dewasa.
Antara makanan yang dijual adalah pisang goreng, tempe goreng, sosej ayam dan lain-lain.
Rakaman itu mencatatkan lebih 4.1 juta tontonan bersama 472,200 tanda suka.
“Negara paling santai di dunia,” komen seorang netizen.
“Ini bukan ‘floating market’ di Thailand tetapi Indonesia!” kata pengguna media sosial lain. – AGENSI