fbpx

‘Bertuah dapat ‘killer song’ sewaktu naif’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Dayang bertuah memiiiki‘killer song’ sejak awal bertapak sebagai penyanyi.

TERUS malar segar, Seandainya Masih Ada Cinta dianggap sebagai lagu bertuah buat penyanyi Dayang Nurfaizah apabila terus mendapat permintaan ramai sejak diperdengarkan 25 tahun lalu.

Dimuatkan dalam album kedua penghibur asal Sarawak itu, karya ciptaan komposer Ajai bersama nukilan Syed EnV nyata tidak luntur ditelan zaman.

Tidak hairan setiap kali dijemput mengadakan persembahan mahupun konsert, seleksi terbabit menjadi lagu wajib dalam repertoire dambaan penonton.

Dayang atau nama sebenarnya, Dayang Nurfaizah Awang Dowty berkata, sudah rezekinya apabila Seandainya Masih Ada Cinta yang diterbitkan pada tahun 2000 terus diminati ramai.

“Ketika proses rakaman di studio, Ajai tiada di situ. Ajai datang dan dengar lagu ini selepas semua proses selesai dan itu juga kali pertama saya bertemu dengannya.

“Ketika itu saya masih muda dan naif, kalau tak salah usia baru 19 atau 20 tahun. Saya hanya menyanyikan sahaja lagu itu sepanjang proses rakaman berlangsung.

“Senarai lagu pun syarikat rakaman yang pilih dan kami berbincang karya mana yang nak dikedepankan dahulu.

SELAIN Dayang, Konsert By Ajai & Mega Friends yang akan diadakan di The Star Theatre, Singapura pada 10 Mei depan turut membariskan ramai penyanyi lain. – AMIR KADIR

“Alhamdulillah, saya tak sangka lagu Seandainya Masih Ada Cinta menjadi ‘killer song’ sampai sekarang,” katanya pada sidang media Konsert By Ajai & Mega Friends, baru-baru ini.

Mengulas lanjut perkara itu, penyanyi yang hampir 26 tahun berkecimpung dalam dunia nyanyian itu bersyukur mempunyai naskah ‘berhantu’ sejak awal kemunculan.

“Setiap penyanyi ada perjalanan sendiri. Saya dianggap bertuah kerana biasanya penyanyi nak dapat lagu malar segar akan ambil masa yang lama iaitu lima hingga 10 tahun.

“Tapi saya sudah dapat lagu itu menerusi album kedua dan menjadi seleksi wajib dalam setiap persembahan. Ini semua kerana sentuhan emas komposernya,” ulas Dayang lagi.

Berkongsi mengenai Konsert By Ajai Mega Friends yang dijadualkan berlangsung di Singapura, Dayang sangat berbesar hati menjadi pilihan Ajai selain berkongsi pentas dengan ramai rakan seperjuangan.

“Terharu Ajai sudi mengajak saya sekali lagi tetapi kali ini di Singapura pula.

“Saya berterima kasih kepada Ajai apatah lagi kami ada sejarah untuk lagu hit Seandainya Masih Ada Cinta yang peminat masih minta saya nyanyikan hingga ke hari ini,” ujarnya.

Pada persembahan mega tersebut Dayang akan menyampaikan dua lagu iaitu Seandainya Masih Ada Cinta dan Kesetiaan dendangan asal Allahyarham Siti Sarah Raisuddin.

Konsert By Ajai & Mega Friends yang bakal bergema di The Star Theatre, Singapura pada 10 Mei depan turut dijayakan Aina Abdul, Hafiz Suip, Hazama, Asmidar, Ajai dan puteri tunggal Siti Sarah, Thalita.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI