fbpx

Beregu lelaki Malaysia bakal ‘mendunia’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
WEI CHONG (kiri) dan Kai Wun mencipta kejutan menjuarai Indonesia Masters menewaskan Fajar-Rian kelmarin. - AFP

DUA kejuaraan dalam tiga kejohanan awal musim ini membuktikan skuad beregu lelaki negara mula mempamerkan kebangkitan dan mampu menjadikan saingan 2025 sebagai tahun terbaik buat Malaysia mendominasi acara tersebut.

Gelaran Terbuka India menerusi beregu profesional, Goh Sze Fei-Nur Izzuddin Rumsani minggu lalu selain kejuaraan Indonesia Masters dimenangi Man Wei Chong-Tee Kai Wun kelmarin memberi sinar buat arena badminton negara.

Kebangkitan dipamerkan Wei Chong-Kai Wun sedikit sebanyak mampu mengurangkan beban digalas Sze Fei-Izzuddin dan Aaron Chia-Soh Wooi Yik selama ini selaku gandingan terbaik negara.

Pengarah Kejurulatihan Akademi Badminton Malaysia (ABM), Rexy Mainaky berkata, peningkatan yang dipamerkan pasangan No. 13 dunia itu memastikan Malaysia kini memiliki tiga beregu lelaki yang mampu mencabar kejuaraan.

“Kemenangan yang sangat baik kerana mereka dapat bermain dengan cukup tenang walaupun berdepan tekanan daripada pemain lawan serta penyokong tuan rumah. Harap mereka konsisten dengan prestasi seperti ini.

“Ia akan menjadi persaingan positif buat beregu lelaki negara. Selain itu, ia juga sekurang-kurangnya dapat mengurangkan tekanan dihadapi Aaron-Wooi Yik kerana sekarang kita ada tiga beregu lelaki terbaik,” katanya.

Pada perlawanan akhir Indonesia Masters di Istora Senayan, Jakarta kelmarin, Wei Chong-Kai Wun mengejutkan pasangan tuan rumah, Fajar Alfian-Muhammad Rian Ardianto menerusi kemenangan 21-11, 21-19.

Kemenangan itu cukup bermakna buat mereka apabila meraih hadiah wang tunai berjumlah AS$37,525 (RM164,284) di kala mereka dalam persiapan menyambut Tahun Baru Cina esok.

“Memang kami berdua berbincang mengenai apa masalah dalam perlawanan-perlawanan sebelum ini tetapi tidak fikir sangat mengenainya kerana perkara lepas sudah berlalu.

“Sudah tentu gembira kerana ini adalah hadiah paling bermakna untuk kami sebelum Tahun Baru Cina. Masih ada beberapa hari sebelum kami meraikannya,” kata Kai Wun kepada Persekutuan Badminton Dunia (BWF).

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI