KUALA LUMPUR – Selepas lebih dekad, ikon rock tanah air Datuk Amy Search bakal mengukir sejarah dalam kariernya apabila akan merealisasikan konsert solo mega pertama pada 26 April ini.
Kata Amy atau nama sebenar Suhaimi Abd. Rahman, Konsert Amy Search Magic First Solo di Axiata Arena Bukit Jalil itu merupakan detik penting yang menyingkap pengembaraan muzik dilaluinya sejak dahulu.
“Saya menerima pelawaan pihak penganjur tahun lalu tetapi tidak dinafikan memang banyak pihak yang menawarkan saya menjayakan konsert solo, cuma saya selalu beri alasan belum bersedia.
“Namun disebabkan tawaran ini datang daripada pengarah konsert, Jennifer Thompson, saya terus terima kerana saya mahukan barisan tenaga kreatif yang berpengalaman dan bukan tangkap muat.
“Setiap seleksi adalah cerminan warna kehidupan saya sejak menceburi dunia muzik terutama bersama kumpulan Search 44 tahun lalu. Setiap nota dan lirik membawa kisah berbeza, melambangkan suka-duka sepanjang tempoh ini,” katanya selepas pengumuman konsert di Society Mont Kiara, semalam.
Vokalis kumpulan Search itu juga berharap persembahan solo mega terbabit juga mampu mendekatkannya lagi dengan pendengar dan penyokong tegar yang berada di belakangnya sejak dahulu.
“Konsert ini akan memberi ruang kepada peminat merasai segala perasaan yang saya rasai sepanjang perjalanan ini.
“Ada cerita yang mahu saya kongsikan menerusi segmen, cuma pemilihan repertoire persembahan masih dalam perincian namun bersama pasukan dan penganjur, kami pastikan setiap seleksi memenuhi keinginan penonton,” ujarnya.
Pada masa sama, Amy menafikan bersikap jual mahal apabila menolak pelawaan beberapa penganjur untuk mengadakan konsert solonya sebelum ini.
“Saya bukan jual mahal, tapi siapa produser untuk konsert adalah elemen paling penting untuk saya. Mereka perlu memahami latar belakang saya.
“Saya perlukan individu yang betul dan waktu yang tepat sebelum setuju menjayakan konsert. Melalui konsert solo ini, saya ingin mempersembahkan bukan sahaja muzik, bahkan jiwa saya.
“Lagu-lagu yang akan saya bawakan juga tidak sekadar hits, tetapi pengalaman hidup yang membentuk siapa saya hari ini. Peminat akan dapat melihat sisi peribadi saya yang mereka tidak tahu,” katanya.
Konsert ini dibawakan TheWhiteGroup dengan kerjasama Perbadanan Stadium Malaysia, manakala tiket mula dijual bermula 5 Februari 2025 menerusi www.wowtix.com.my . – KOSMO! ONLINE