PUTRAJAYA – Pelawak, Along Cham mendedahkan hanya mengetahui mengenai isterinya, Afreena Suhaimi mengalami keguguran selepas dibebaskan dari Penjara Sungai Buloh semalam.
Menurut Along atau nama sebenarnya, Muhammad Nizamudin Ahmad, 42, dia sebelum ini mengetahui tentang kehamilan Afreena selepas tiga minggu menjalani tempoh tahanan Penjara Sungai Buloh.
“Saya dapat tahu pun perkara itu (isteri hamil) ketika berada di penjara. Dia beritahu saya, tapi saya serahkan sahaja benda ini (soal kandungan) kepada Allah SWT.
“Saya doa dengan Allah dan lakukan solat Tahajud. Saya cakap pada Allah, kalau kandungan itu, zuriat itu milik saya, Engkau kekalkan. Namun, jika sebaliknya Engkau keluarkan.
“Tapi, apabila dia kata dah keguguran, saya pun tidak tahu nak respons apa, tanya Allah,” katanya kepada Kosmo! Online ketika ditemui di pekarangan Mahkamah Syariah Wilayah Persekutuan Putrajaya untuk memfailkan dan membuat pengesahan lafaz cerai secara taklik terhadap Afreena, di sini, hari ini.
Along hadir juga hadir dengan ditemani ibu, Siti Habsah Kadir, 64, dan anak lelakinya, Ahmad Daniel Muhammad Nizamudin, 14.
Terdahulu, Along bertemu jodoh kali kedua dengan Afreena pada 4 April 2024 selepas lapan tahun hidup menduda apabila bercerai dengan bekas isteri pertamanya, Zila Saeron pada September 2016.
Semalam, Along melakukan sujud syukur dalam kandang tertuduh selepas Mahkamah Sesyen Sepang, semalam melepas tanpa membebaskannya (DNAA) atas satu pertuduhan memiliki dadah disyaki kanabis ditemui di kediamannya di Cyberjaya, Disember tahun lalu.
Bagaimanapun, Along didakwa di Mahkamah Majistret Sepang atas dua pertuduhan lain iaitu memiliki dan memasukkan dadah serta dibenarkan ikat jamin RM5,000. – KOSMO! ONLINE