PUTRAJAYA – Pelawak Along Cham mendakwa isterinya iaitu Afreena Suhaimi menyeleweng duit sumbangan orang ramai berjumlah mencecah ratusan ribu yang sepatutnya digunakan untuk membantunya sepanjang dia ditahan di Penjara Sungai Buloh atas dakwaan memiliki dadah sejak akhir tahun lalu.
Along atau nama penuhnya Muhammad Nizamudin Ahmad, 42, berkata, dana yang terkumpul hasil sumbangan orang awam termasuk golongan selebriti itu dianggarkan sekitar RM100,000.
“Dana-dana dikutip itu katanya untuk kegunaan saya, tetapi tidak sampai kepada pihak saya. Duit yang digunakan untuk ikat jamin semalam adalah daripada ibu saya, Siti Habsah Kadir, ahli keluarga dan Didie Alias.
“Bukan sahaja orang awam, selebriti juga beri sumbangan. Dia (Afreena) dakwa duit daripada dana itu nak guna untuk kos perbelanjaan anak lelaki saya, Ahmad Daniel.
“Tapi sepanjang saya ditahan, anak saya diuruskan oleh Didie Alias. Dianggarkan lebih RM100,000 dana yang terkumpul,” katanya kepada Kosmo! Online di pekarangan Mahkamah Syariah Wilayah Persekutuan Putrajaya di sini, hari ini.
Aaron Aziz juga mangsa
Kongsi Along, pelakon, Datuk Aaron Aziz juga antara yang menyumbang untuk tabung dana dibuat oleh Afreena sekali gus menjadi salah seorang mangsa ‘scam’.
“Semalam, saya mendapat panggilan daripada abang saya, Aaron Aziz yang kini berada di Uzbekistan. Dia ada memberikan kata-kata semangat.
“Paling mengejutkan saya apabila Aaron memaklumkan semalam, isteri saya ada meminta wang RM20,000 tapi Aaron hanya menyumbang RM5,000 kononnya untuk membayar ikat jamin saya.
“Sedangkan wang ikat jamin itu telah pun diselesaikan oleh ibu saya dan Didie. Saya sudah maklumkan kepada Aaron untuk usaha dapatkan kembali wang tersebut,” jelasnya.
Dia juga turut memohon maaf bagi pihak isterinya yang mempergunakan namanya untuk kepentingan sendiri.
“Bagi pihak isteri, saya memohon maaf kerana dia menggunakan nama saya. Saya pun tak faham apa motif isteri saya,” katanya lagi.
Sementara itu, Siti Habsah juga sudah membuat laporan polis berhubung penyelewengan dana tersebut.
Katanya, pihak polis juga akan memanggil mana-mana pihak yang terlibat dalam memberi sumbangan ke dana tersebut untuk membuat laporan.
Sebelum ini, Afreena sering mencuri perhatian ramai apabila kerap memuat naik hantaran Instagram yang berharap suaminya diberikan keadilan dan dibebaskan segera.
Semalam, pelakon filem Tiada Tajuk itu membuat sujud syukur di kandang tertuduh selepas Mahkamah Sesyen Sepang di sini melepaskannya tanpa membebaskan (DNAA) daripada satu pertuduhan berkaitan pemilikan dadah disyaki kanabis.
Dalam perkembangan berkaitan, Along turut dihadapkan ke Mahkamah Majistret atas dua pertuduhan lain melibatkan pemilikan dan penggunaan dadah.
Hakim membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM5,000 sementara menunggu perbicaraan. – KOSMO! ONLINE